KUCHING: Sumbangan masyarakat India dalam pembangunan Sarawak menjadi bahagian penting dalam landskap masyarakat majmuk negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, masyarakat India yang bertapak di negeri ini sejak beberapa generasi lalu memainkan peranan dalam pelbagai bidang.
“Sumbangan mereka termasuk dalam bidang pendidikan, perniagaan, perkhidmatan awam, kebudayaan dan pembangunan komuniti.

“Walaupun jumlah masyarakat India di Sarawak agak kecil, sumbangan mereka membentuk sebahagian daripada sejarah dan pembangunan masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan Pertama (SAIWA) 2026 di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.
Menyentuh program, Fatimah mendedahkan Persatuan Wanita Antarabangsa Asia Selatan (SIWA) mengetengahkan usaha memelihara warisan serta mengiktiraf sumbangan masyarakat India, khususnya dalam kalangan wanita.
Katanya, penganjuran SIWA 2026 menjadi satu lagi pencapaian penting persatuan itu apabila berjaya membawa perhimpunan antarabangsa ke Kuching.
Sekali gus, menghimpunkan pemimpin wanita, golongan profesional, ahli akademik dan penggerak perubahan dari Asia Selatan serta peringkat antarabangsa.
“Perhimpunan itu bukan sekadar platform pertemuan, tetapi turut membuka peluang untuk memperkukuh jaringan, kerjasama perniagaan, bimbingan dan pertukaran ilmu dalam kalangan wanita,” ringkasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa SIWA merupakan sebuah organisasi kecil yang mewakili komuniti minoriti di Sarawak.
“Justeru, penganjuran acara antarabangsa sebesar ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan visi, keazaman, komitmen, sumber yang mencukupi serta keyakinan untuk menjayakannya.
“Besar harapan agar perbincangan sepanjang tiga hari perhimpunan ini dapat diterjemahkan kepada usaha konkrit yang membawa manfaat kepada wanita dan masyarakat,” katanya.


