ARTIKEL

Persembahan Tarian Singa di SMK Three Rivers, baru-baru ini.

Tarian Singa di sekolah perkukuh perpaduan dan kreativiti pelajar


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seni tradisional seperti tarian singa berpotensi menjadi medium pendidikan yang membentuk disiplin, kreativiti dan perpaduan pelajar, selain memastikan warisan budaya terus diwarisi generasi muda.

Pengerusi Persatuan Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Bahagian Mukah, Ho Ing Siong berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh pendidikan seni dengan menghubungkan pihak sekolah dan guru bersama-sama penggiat seni profesional.

Menurutnya, Yayasan Sime Darby menyediakan dana bagi pelaksanaan 12 program seumpamanya di seluruh negara, dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers dipilih sebagai sekolah pelaksana di Sarawak.

Persembahan Tarian Singa di SMK Three Rivers, baru-baru ini.

“Program ini dimasukkan dalam kalendar pengajaran bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar dengan seni persembahan, khususnya tarian singa.

“Antara fokus utamanya ialah memupuk minat pelajar dalam bidang tarian, muzik dan teater, selain seni visual seperti lukisan, kraf dan seni cetak serta seni tradisional,” katanya selepas persembahan tarian singa, di SMK Three Rivers, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya pelibatan dalam seni turut membantu membangunkan kemahiran kepimpinan pelajar melalui ekspresi kreatif, sekali gus membentuk keyakinan diri dan disiplin.

Persembahan Tarian Singa di SMK Three Rivers, baru-baru ini.

Jelasnya, program berkenaan dilaksanakan dengan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta melibatkan sekolah dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menerusi pelaksanaannya, guru akan mengikuti minggu inkubasi dan latihan intensif sebelum membangunkan modul kelab seni yang bersesuaian untuk diterapkan di sekolah masing-masing.

Dalam pada itu, Ho berpuas hati dengan komitmen pihak SMK Three Rivers dalam memperkenalkan seni tarian singa kepada warga sekolah.

RAKAM KENANGAN… Ho dan Donny merakam kenangan bersama-sama yang lain selepas persembahan tersebut.

“Pelibatan pelbagai kaum dalam aktiviti seni tradisional mampu menjadi wadah memupuk persefahaman, perpaduan dan rasa hormat dengan warisan budaya masyarakat berbilang kaum.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi memastikan seni tradisional terus dihargai generasi muda, selain menjadikan sekolah sebagai ruang untuk mengembangkan bakat dan kreativiti pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan menyambut baik pelaksanaan program berkenaan dan menzahirkan penghargaan kepada Kelab Kaki Seni serta Persatuan Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Bahagian Mukah atas pemilihan sekolah itu sebagai lokasi pembelajaran seni tarian singa.

“Penyertaan pelajar bukan sahaja memberi peluang kepada mereka memahami budaya dan kesenian tarian singa yang sinonim dengan masyarakat Cina, malah membantu meningkatkan disiplin serta kemahiran menerusi latihan tersusun.

“Bukan itu sahaja, pelajar didedahkan kepada teknik pergerakan, rentak dan keselarasan tarian mengikut alunan muzik yang memerlukan tumpuan, koordinasi serta kerjasama berpasukan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU