BINTANGOR: Seorang wanita berusia 62 tahun kerugian kira-kira RM11,000 selepas beg pinggang berisi wang tunai RM6,000 dan barang kemas dicuri seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Jalan Mahkamah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 5 petang itu.
Katanya, siasatan mendapati suspek memasuki kedai berkenaan dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum mangsa meninggalkan beg pinggang berwarna coklat gelap di atas meja ketika mengambil barangan yang diminta.
“Suspek dipercayai mengambil beg berkenaan, menyembunyikannya di dalam baju sebelum melarikan diri dari premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain wang tunai, beg itu turut mengandungi lima cincin emas, seutas rantai dan dua gelang emas serta dokumen dan barangan peribadi mangsa.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedai berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), manakala tiada saksi dikenal pasti melihat kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan polis kini berusaha mengesan suspek termasuk mendapatkan rakaman CCTV dari premis berhampiran,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Sylvia Rantai di talian 019-8692973 atau IPD Meradong.

