KUCHING: Dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan selepas polis menemukan senjata menyerupai pistol dalam Op Laras di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Jalan Batu Kawa, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira 10.50 malam dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan bersama Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
Menurutnya, sepasukan anggota polis yang bertindak atas maklumat menahan kedua-dua lelaki berkenaan di kawasan parkir berhampiran sebuah premis makanan di Kuching City Mall sebelum merampas beberapa barangan untuk membantu siasatan.

“Antara barangan yang dirampas adalah sepucuk senjata menyerupai pistol jenis airsoft gun buatan Taiwan, satu kelopak peluru berwarna hitam serta sebuah kotak yang dipercayai berkaitan dengan senjata berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Barry menambah, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih bersama anak kunci serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.
Barry berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik mengaku memiliki senjata tersebut selepas membelinya daripada seorang kenalan di Sibu Jaya kira-kira tiga tahun lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa membeli senjata itu dengan harga RM1,500 secara tunai untuk tujuan menembak burung sebelum berhasrat menjualnya semula kepada seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pemandu bas, namun urusan tersebut tidak berjaya.
“Semakan rekod polis mendapati suspek berusia 37 tahun mempunyai 10 rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah dan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
“Suspek berusia 20 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai dua rekod berkaitan dadah,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek turut mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah, namun pengakuan berkenaan masih memerlukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kegiatan mereka.
Susulan penahanan itu katanya, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Moyan Jaya 2, namun tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Kedua-dua suspek dijadual dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.


