SARIKEI: Perbuatan tiga individu termasuk dua remaja lelaki berusia 17 tahun memecah masuk sebuah rumah di Pakan, Julau, membawa padah apabila seorang daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Sarikei, kelmarin.
Dua lagi remaja terbabit pula dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan akhlak sebelum mahkamah menentukan tindakan selanjutnya.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Fatimah Azura pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama dengan niat yang sama kira-kira 8 malam pada 10 November lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Rumah Janting, Lemujan, Pakan, yang merupakan kediaman seorang wanita.
Antara barangan yang dicuri adalah sebuah beg galas, komputer riba, seutas rantai besi berwarna kekuningan bersama loket berbentuk salib serta seutas gelang besi berwarna kekuningan dengan loket berbentuk hati.
Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun bagi kesalahan pecah rumah dengan tujuan mencuri, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan terhadap tertuduh pertama, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, dengan hukuman dijalani di Penjara Sibu.
Sementara itu, kedua-dua remaja dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan ibu bapa masing-masing bertindak sebagai penjamin.
Kes kedua-dua remaja berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember depan sementara menunggu laporan akhlak bagi pertimbangan mahkamah.



