KUCHING: Golongan wanita berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan Sarawak pada masa depan, didorong peluang pendidikan tinggi dan pembangunan bakat yang disediakan Kerajaan Sarawak secara sama rata tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pencapaian cemerlang pelajar wanita dalam bidang akademik membuktikan kemampuan mereka untuk melangkah lebih jauh, termasuk menerajui pelbagai sektor profesional, pentadbiran dan kepimpinan negeri.
“Setiap kali saya menghadiri majlis penyampaian anugerah pelajar terbaik di sekolah atau konvokesyen universiti, pelajar wanita begitu menyerlah.

“Melihat pencapaian ini, saya percaya wanita akan memainkan peranan yang semakin besar dalam kepimpinan Sarawak pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan 2026, di sini, malam tadi.
Malah, katanya, penyertaan wanita dalam pendidikan tinggi semakin memberangsangkan, dengan anggaran 60 hingga 65 peratus pelajar di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak terdiri daripada golongan wanita, sekali gus memperlihatkan potensi mereka dalam pembangunan modal insan negeri.
Mengulas lanjut ujarnya, Sarawak sentiasa membuka ruang kepada setiap individu yang mempunyai bakat dan kebolehan untuk mencapai kejayaan supaya dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
“Ini kelebihan Sarawak. Jika seseorang mempunyai bakat, tidak kira sama ada beliau daripada golongan minoriti atau seorang wanita, peluang tetap diberikan.
“Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak mulai tahun ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperluas akses pendidikan supaya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah turut berpeluang melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan masyarakat India yang terus memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, kejuruteraan, perundangan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
“Walaupun masyarakat India di Sarawak tidak ramai, mereka memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan dalam pembangunan negeri,” katanya.
Ujarnya, pengiktirafan terhadap komuniti berkenaan turut diterjemahkan menerusi penganjuran majlis sambutan Deepavali Sarawak baru-baru ini, yang mencerminkan semangat kebersamaan dan penghormatan kepelbagaian budaya serta agama.
Sementara itu, program tiga hari tersebut menghimpunkan sekitar 400 peserta dari sembilan negara yang merangkumi golongan profesional, pemimpin dan wakil pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan kepimpinan, keusahawanan serta pembangunan wanita, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam kemajuan Sarawak.

