LAWAS: Pemasangan peralatan rangkaian telekomunikasi yang dinaik taraf dipercepat bagi memperluas liputan serta meningkatkan kestabilan capaian Internet di seluruh Lawas.
SACОFA Sdn. Bhd. dalam kenyataan berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), pengendali rangkaian mudah alih (MNO) serta pihak berkuasa kawal selia.
“Selain mempercepat pemasangan peralatan rangkaian yang dinaik taraf, pasukan teknikal kami turut giat melaksanakan penyelesaian di lapangan serta mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur jangka panjang.

“Usaha ini bertujuan memastikan kemudahan Internet yang lebih stabil, boleh dipercayai dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu hari ini.
SACOFA turut mengakui cabaran yang dihadapi penduduk, khususnya berkaitan capaian Internet yang masih terhad di beberapa kampung serta kawasan pusat bandar di Lawas.
Dalam pada itu, SACOFA menegaskan komitmennya untuk terus menyokong kesejahteraan masyarakat setempat menerusi penganjuran Program Jalinan Kasih SACOFA 2026 Lawas yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pada Selasa.
Program berkenaan turut menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta penerima manfaat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadig Abdul Lathiff berkata, pihaknya menyedari kepentingan akses digital dalam menyokong pelbagai aspek kehidupan, termasuk pendidikan, perniagaan dan urusan harian masyarakat.
“Justeru, komitmen kami bukan sekadar tertumpu kepada aspek teknologi, malah merangkumi usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Kami amat menghargai kesabaran dan kepercayaan masyarakat sementara terus berusaha membina masa depan yang lebih terhubung dan berdaya tahan bersama-sama,” katanya.
Menerusi program itu, SACOFA menyalurkan sumbangan zakat wakalah dan bantuan komuniti kepada golongan asnaf yang layak, keluarga kurang berkemampuan serta penerima manfaat lain yang dikenal pasti di Lawas.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen SACOFA yang bukan sahaja berperanan sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi, malah turut mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan komuniti setempat.



