SARIKEI: Seorang penunggang motosikal cedera selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Repok, berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan kejadian pada 5.39 petang.
Susulan itu, sebuah jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama dengan tiga anggota dari BBP Sarikei dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba seminit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta serta motosikal.
“Komander Operasi, PBK I Unjah Janggau kemudian mengarahkan anggota memberi rawatan awal kepada penunggang motosikal yang mengalami kecederaan,” katanya.
Anggota bomba turut memasangkan kolar leher kepada mangsa bagi menstabilkan keadaan sebelum dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi bantuan di lokasi selesai pada 6 petang, manakala keseluruhan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.09 petang.


