SARIKEI: Empat keluarga yang terjejas selepas empat pintu di Rumah Sibar Duat, Lubok Lemba, Ulu Sarikei musnah dalam kebakaran, menerima bantuan daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii, semalam.
Bantuan berupa makanan dan barangan keperluan dapur itu disampaikan menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.208 Sarikei dalam satu lawatan kebajikan ke lokasi kejadian.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga terbabit yang kini berdepan kesukaran selepas kehilangan tempat tinggal.
“Saya akan terus memberi perhatian terhadap keperluan mangsa, termasuk membantu mendapatkan sokongan berkaitan usaha membaik pulih kediaman yang rosak.
“Kita berharap kerja baik pulih dapat diselaraskan bersama agensi berkaitan supaya mangsa dapat kembali mendiami kediaman yang selamat dan selesa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, keadaan mangsa akan terus dipantau bagi memastikan bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dari semasa ke semasa.
Huang turut menzahirkan simpati terhadap keluarga yang terlibat dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan berikutan kejadian berkenaan.
Kebakaran yang berlaku tengah malam 16 November lalu itu menyebabkan empat pintu kediaman di rumah panjang terbabit musnah.
“Semoga semua mangsa terus tabah dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi situasi ini,” katanya.



