KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited menyokong pembangunan institusi keagamaan pelbagai agama menerusi bantuan kewangan bagi memastikan kemudahan rumah ibadat dapat ditambah baik mengikut keperluan komuniti.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kerajaan juga menyokong rumah ibadat menerusi peruntukan yang disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR).

“Sokongan kerajaan menerusi UNIFOR bukan sekadar mengiktiraf peranan penting organisasi keagamaan dalam memelihara keharmonian masyarakat, malah memastikan warisan budaya dan kerohanian dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan kuil dan institusi keagamaan lain dalam memelihara tradisi budaya, mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkukuh identiti masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negeri,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan lawatan kerja ke empat tokong atau kuil di Kuching dengan diiringi Timbalan Pengarah UNIFOR, Caroline Chen Tze Yian, bagi mengiktiraf sumbangan institusi berkenaan kepada masyarakat setempat serta memahami keperluan pembangunan dan penaiktarafan kemudahan mereka.
Empat kuil yang dikunjungi ialah Pertubuhan Penyokong Rumah Berhala Tiong Hock Kiong Kong Teck Choon Ong Kuching, Persatuan Tian Sheng Kong, Kuil Tong Kak Kuang dan Kuil Buddha Poh Ka Kuching.
Kesemua institusi keagamaan berkenaan menerima bantuan kewangan Kerajaan Sarawak menerusi Fasa 2 Program Geran UNIFOR 2026 yang disampaikan di pejabat UNIFOR, Wisma Satok, minggu lalu.
Bagi Fasa 2 Program Geran UNIFOR 2026, sejumlah RM11,480,500 daripada keseluruhan peruntukan RM49,880,100 disalurkan bagi membantu institusi keagamaan di Bahagian Kuching.
Menurut rekod UNIFOR, Pertubuhan Penyokong Rumah Berhala Tiong Hock Kiong Kong Teck Choon Ong Kuching menerima bantuan terkumpul sebanyak RM730,000 merangkumi RM150,000 pada 2023, RM400,000 pada 2024 dan peruntukan terbaharu RM180,000 pada 2026 bagi kerja penaiktarafan baharu.
Manakala, Persatuan Tian Sheng Kong pula menerima RM100,000 pada 2026 bagi pembelian peralatan kuil.
Sementara itu, Kuil Tong Kak Kuang menerima bantuan keseluruhan RM1 juta sejak 2020 iaitu RM100,000 pada 2020 serta RM450,000 masing-masing pada 2024 dan 2026.
Kuil Buddha Poh Ka Kuching pula menerima bantuan terkumpul sebanyak RM1.35 juta sepanjang tempoh berkenaan.
Jumlah itu merangkumi RM200,000 pada 2019, RM100,000 pada 2020, RM100,000 pada 2021 dan RM200,000 pada 2025, selain tambahan RM750,000 pada 2025 bagi cadangan pembinaan dan penyiapan sebuah biara Buddha tiga tingkat.
Secara berasingan, Allahyarham bekas Ketua Menteri, Pehin Sri Adenan Satem turut menyalurkan RM500,000 kepada kuil berkenaan pada 2016.




