KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menarik pelaburan Perancis dalam beberapa sektor, termasuk pemprosesan nadir bumi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerjasama nadir bumi perlu berasaskan kepercayaan dan dilaksanakan secara selamat tanpa menjejaskan alam sekitar.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menyokong pandangan itu dan menyatakan nadir bumi antara bidang kerjasama utama yang ingin diterokai Perancis.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang kerjasama dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Macron mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar, iaitu lawatan pertamanya sejak memegang jawatan pada Mei 2017 seperti dilapor Bernama.




