SARATOK: Berang selepas tiga bulan tidak menerima gaji, tiga pekerja sebuah syarikat bertindak mencuri pelbagai barangan milik majikan mereka termasuk mangkuk tandas, cat dan mesin gerudi di setor dekat Kabong.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kesemua suspek lelaki berusia antara 26 hingga 29 tahun itu ditahan di Kampung Hulu Kabong, malam tadi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek mengambil sebuah mangkuk tandas, empat tong cat dan dua unit mesin gerudi dari setor barangan pembinaan rumah milik majikan mereka pada 13 November lalu.
“Mereka mengaku melakukan perbuatan itu kerana marah berikutan tidak dibayar gaji selama tiga bulan oleh majikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas barangan yang dipercayai dicuri semasa serbuan berkenaan.
Bagaimanapun, empat tong cat tersebut telah dijual kepada seorang lelaki di Kampung Hilir Kabong dengan harga RM50 setong.
“Set mangkuk tandas dan mesin gerudi pula masih disimpan di rumah suspek sementara menunggu pembeli.
“Wang hasil jualan barangan curi itu dirancang untuk dibahagikan sama rata sebelum digunakan bagi membeli bekalan dadah,” katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati kesemua suspek mengaku beberapa kali memecah masuk setor berkenaan ketika ketiadaan penjaga, iaitu antara pukul 6 pagi hingga 8 pagi sebelum pertukaran syif.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



