ARTIKEL

Wakil STB merakam gambar kenangan bersama-sama rakan perdagangan pelancongan dari Taiwan di reruai Sarawak sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa Taiwan (ITF) 2026.

STB catat peningkatan 40.3 peratus ketibaan pelawat dari Asia Utara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan seramai 108,816 ketibaan pelawat dari Asia Utara bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat berbanding 77,573 orang dalam tempoh sama tahun lalu sekali gus mencerminkan momentum positif pasaran pelancongan dari rantau berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr Sharzede Salleh Askor berkata, peningkatan sebanyak 40.3 peratus itu mencerminkan minat yang semakin menggalakkan terhadap Sarawak, selain mengukuhkan kepentingan mengekalkan kehadiran secara konsisten dalam pasaran tersebut.

“Pertumbuhan 40.3 peratus ketibaan pelawat dari Asia Utara dan peningkatan 8.3 peratus dari Taiwan merupakan petunjuk positif terhadap daya tarikan Sarawak yang semakin meningkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Daripada jumlah itu, dari Januari hingga September tahun ini juga Taiwan menyumbang sebanyak 10,730 ketibaan, meningkat 8.3 peratus berbanding 9,908 pelawat dalam tempoh sama pada 2025.

Justeru, beliau memaklumkan, penyertaan berterusan STB dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Taiwan (ITF) mencerminkan komitmen agensi itu untuk mendekati pelancong Taiwan serta memperkukuh hubungan dengan rakan industri pelancongan.

“Selain mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, kami mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai pelancong untuk merasai sendiri keistimewaan Sarawak, daripada warisan budaya yang kaya dan keindahan alam semula jadi hingga pengalaman pengembaraan, sajian kulinari serta pelbagai festival,” ujarnya.

Penyertaan STB dalam ITF 2026 merupakan kali ketiga berturut-turut yang berlangsung dari 6 hingga 9 November lalu di Nangang Exhibition Hall, Taipei, Taiwan.

Menerusi penyertaan tersebut, STB mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan Sarawak melalui ruang pameran khas yang memberi peluang kepada pengunjung dan wakil industri mengenali tarikan, pengalaman serta pakej pelancongan yang ditawarkan.

Ia juga melibatkan lima rakan kerjasama iaitu ComeBest Tour Co., Ltd., China Dragon Travel Service Co., Ltd., Happy Go Travel Co., Ltd., Unitravel Services Co., Ltd. dan Royal Brunei Airlines Taiwan.

Kerjasama berkenaan menyokong usaha mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, selain memberi peluang kepada bakal pelancong mendapatkan maklumat mengenai produk dan pakej yang ditawarkan.

Malah, kerjasama itu juga membuahkan hasil awal apabila tempahan daripada pengunjung mula diterima bagi pakej pelancongan Sarawak menjelang cuti Tahun Baharu Cina akan datang.

Royal Brunei Airlines pula mengetengahkan jaringan penerbangannya yang menghubungkan Taipei, Bandar Seri Begawan dan Kuching, sekali gus memudahkan akses pelancong Taiwan ke Sarawak.

Selain mendekati pengguna, pameran itu turut membuka ruang kepada STB dan rakan kerjasama untuk berhubung dengan penggiat industri pelancongan Taiwan, memperkukuh hubungan sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Melalui penyertaan berterusan itu, STB menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Sarawak di Taiwan serta menarik lebih ramai pelawat meneroka negeri ini sebagai Pintu Gerbang ke Borneo (Gateway to Borneo).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

30 peserta pelajari teknik asas kraf manik

Keindahan susunan ratusan manik halus yang kelihatan sederhana menyimpan keunikan seni, ketelitian dan identiti budaya masyarakat Kayan Belaga yang diwariskan sejak turun-temurun. Keunikan itu terserlah

Sukan platform perkasa potensi belia

SARIKEI: Kerajaan Sarawak memperkukuh agenda pembangunan belia dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk mengasah bakat, membina keyakinan diri dan meningkatkan keupayaan menerusi