KUCHING: Tiada projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai terbengkalai, sebaliknya semua projek yang diluluskan di kawasan berkenaan selesai sepenuhnya bagi tempoh 2015 hingga 2025.
Penyandang kerusi DUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata projek yang masih dalam pelaksanaan merupakan projek yang dicadangkan bermula Januari hingga penghujung tahun 2026 sahaja.

“Memang terdapat kelewatan pelaksanaan bagi sesetengah projek berpunca daripada masalah teknikal.
“Antara faktor kelewatan termasuk masalah pelantikan kontraktor serta kesukaran mendapatkan kelulusan tanah dan izin lalu (wayleave),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Konvensyen Saudara Kita ke-11 Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Hotel Imperial di sini, hari ini.
Jelasnya, masalah izin lalu timbul apabila pemilik tanah yang pada awalnya bersetuju membenarkan projek dilaksanakan di kawasan mereka mengubah keputusan pada saat akhir.
“Selain itu, terdapat projek yang perlu melalui tanah persendirian atau milik pihak swasta, sekali gus memerlukan penyelarasan bagi memastikan kerja-kerja dapat diteruskan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) itu menambah, pihaknya baru-baru ini turut membawa agensi pelaksana turun padang bagi meninjau perkembangan projek masing-masing.
“Langkah itu bertujuan mengenal pasti sebarang halangan yang berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan projek yang diluluskan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Katanya, Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai berperanan memantau projek yang telah diluluskan, manakala pelantikan kontraktor dan pelaksanaan projek diuruskan oleh pejabat daerah serta agensi pelaksana berkaitan.
“Namun, kita sentiasa berbincang dengan pejabat daerah dan pihak yang menguruskan projek agar pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya.



