ARTIKEL

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia (TM) dengan Alcatel Submarine Networks (ASN) disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Bangunan Sultan Abdul Samad.

SALAM Perkukuh Kesalinghubungan Digital Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat (universal service provider) untuk mereka bentuk, laksana dan kendalikan sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Dalam satu kenyataan, Komunikasi Korporat MCMC berkata perbelanjaan modal projek bernilai RM2.7 bilion akan dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Jelasnya, sistem SALAM akan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan digital yang lebih andal kepada komuniti, perniagaan dan kerajaan.

Sistem ini juga akan menyediakan laluan alternatif bagi trafik data, sekali gus mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami gangguan atau kerosakan.

“Dengan jajaran sepanjang kira-kira 5,500 kilometer, sistem ini akan dilaksana oleh TM berasaskan teknologi kabel dasar laut Alcatel Submarine Networks (ASN).

“Sistem ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat, memandangkan penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada, yang telah beroperasi sejak 2017, kini mencecah kira-kira 85 peratus,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, sistem SALAM merangkumi 10 stesen pendaratan (landing station) kabel dasar laut baharu, iaitu Cherating dan Sedili di Semenanjung Malaysia; Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju) di Sarawak; serta Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Kapasiti tambahan ini akan menyokong peluasan jalur lebar dan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh untuk memperluas peluang digital, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Empat pasangan gentian optik (fibre pairs) akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara, termasuk infrastruktur awan berdaulat (sovereign cloud), perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber,” tambahnya.

Pelaksanaan projek ini dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.

SALAM mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh infrastruktur digital Malaysia agar lebih banyak komuniti dan perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU