KUCHING: Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13.
Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata golongan wanita merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sarawak, sekali gus mempunyai pengaruh besar dalam keluarga dan masyarakat.
Katanya, pengaruh wanita bukan sahaja melibatkan suami dan anak-anak, malah turut merangkumi ahli keluarga serta komuniti setempat.

“Pengundi di Sarawak terdiri daripada 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita.
Oleh itu, jentera Wanita amat penting kerana mereka mampu mempengaruhi suami, anak-anak, keluarga dan masyarakat.
“Melalui Gerakan Wanita, kita yakin GPS mampu memperoleh kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita GPS di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Asfia berkata, beliau yakin dengan keupayaan jentera berkenaan berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap pelancarannya di seluruh Sarawak.
“Alhamdulillah, kita sudah melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita GPS bagi seluruh Sarawak.
“Sambutannya amat menggalakkan dan kita yakin dengan jentera ini, GPS mampu memenangi kesemua 82 kerusi, insya-Allah,” tambahnya.




