KUALA LUMPUR: Majlis Perniagaan Malaysia-Australia (MABC) menggalakkan syarikat Malaysia beralih daripada pelaburan hartanah kepada teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Pengerusinya, Loong Caesar, berkata syarikat Malaysia perlu menyelaraskan pelaburan dengan strategi ekonomi Australia menerusi inisiatif “Invested: Australia’s South-East Asia Economic Strategy to 2040”.
Beliau berkata Australia unggul dalam inovasi digital dan AI, sekali gus membuka peluang pemindahan teknologi serta usaha sama kepada syarikat Malaysia.
Loong turut menyebut pelaburan Australia di Malaysia tertumpu kepada infrastruktur digital, termasuk pusat data AirTrunk bernilai RM12 bilion dan pusat data NEXTDC Ltd bernilai RM2.8 bilion.
Program MABC Target menemukan syarikat Australia dengan pemain industri tempatan, manakala perdagangan dua hala hampir AU$35 bilion menjadikan Malaysia rakan dagang kesembilan terbesar Australia seperti dilapor Bernama.




