KUCHING: Masyarakat luar bandar perlu beralih daripada sekadar bergantung kepada bantuan dan program latihan kepada usaha memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk mencipta peluang ekonomi sendiri serta meningkatkan taraf kehidupan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Malaysia, Zambri Mustajap berkata, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh menerusi program pembangunan komuniti perlu dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, memperkukuh ekonomi keluarga serta meningkatkan daya saing masyarakat desa.
Menurutnya, usaha itu menjadi antara penekanan utama Program Kilauan Borneo yang bertujuan memperkasakan masyarakat luar bandar melalui pembelajaran berterusan, penguasaan kemahiran dan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian.

“Ilmu dan kemahiran yang dipelajari tidak seharusnya terhenti di dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kilauan Borneo bertemakan Misi Celik Hidup, Dari Kelas ke Dunia Sebenar yang menghimpunkan peserta dari Sarawak dan Sabah, di sini hari ini.
Zambri menegaskan bahawa keberkesanan sesuatu program pembangunan masyarakat tidak seharusnya terhenti selepas peserta menamatkan latihan, sebaliknya perlu diteruskan melalui pengaplikasian pengetahuan dan kemahiran yang mampu membawa perubahan dalam kehidupan mereka.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan peserta supaya menjadikan program berkenaan sebagai titik permulaan untuk mengembangkan potensi diri dan memanfaatkan kemahiran yang dipelajari apabila kembali ke kampung halaman masing-masing.
“Jadikanlah segala pengetahuan, bimbingan dan jaringan yang dibina sepanjang program ini sebagai batu loncatan untuk terus maju.
“Jangan takut untuk mencuba pembaharuan dan manfaatkan teknologi digital yang ada pada hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa faktor usia bukan penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu, malah kesungguhan peserta daripada pelbagai peringkat umur turut menyentuh perasaannya sehingga mengimbau kenangan terhadap arwah ibunya yang meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Sementara itu, Zambri berharap kerjasama strategik antara KEMAS dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diperkukuh bagi memperluas peluang latihan dan pembangunan kemahiran kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, pelbagai program dan inisiatif kerajaan berpotensi meningkatkan kesejahteraan masyarakat, namun penyebaran maklumat serta promosi perlu dipertingkat bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasaran.
“Penganjuran Kilauan Borneo juga mencerminkan komitmen KEMAS dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasakan pembangunan masyarakat luar bandar, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga KEMAS dan Pemaju Masyarakat di Sarawak serta Sabah supaya terus memainkan peranan sebagai penghubung antara inisiatif kerajaan dengan keperluan rakyat di peringkat akar umbi, selain berharap program berkenaan dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai masyarakat desa yang berkemahiran, berdikari dan berdaya saing.




