KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menggunakan satu logo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, dengan semua calonnya bertanding atas nama gabungan itu di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Pergerakan Wanita GPS, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penggunaan satu logo itu kekal menjadi pendekatan gabungan berkenaan seperti yang ditetapkan pucuk pimpinan.
“Memang GPS. Kita (GPS) akan menggunakan satu logo sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jentera Wanita GPS yang disempurnakan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Pendirian itu selaras dengan pengumuman Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa gabungan berkenaan akan meletakkan calon di semua 82 kerusi pada PRU Sarawak kali ini.
GPS yang dibentuk pada 2018 selepas empat parti komponen Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN), terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Penggunaan logo GPS pada PRN12 pada 2021 menyaksikan calon keempat-empat parti komponen bertanding di bawah lambang gabungan itu, bukannya menggunakan logo parti masing-masing.
Dalam pilihan raya berkenaan, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri ketika itu.



