ARTIKEL

RAZI, Saperi ketika Program Pemuda Saribas Prihatin di Rumah Panjang Entawa, Debak.

Pemuda PBB Saribas perlu aktif santuni anak muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Saribas di semua peringkat digesa terus mempergiat usaha mendekati serta menyantuni golongan belia bagi memastikan sokongan generasi muda dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diperkukuh.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas yang juga Ketua Cawangan PBB Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, golongan muda merupakan kelompok pengundi yang besar dan mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju serta kesinambungan kepimpinan negeri.

Justeru, pendekatan lebih dekat dan berterusan perlu dilaksanakan bagi membina hubungan erat dengan golongan berkenaan, sekali gus memastikan mereka memahami perjuangan serta dasar yang dibawa kerajaan GPS.

“Saya mahu jentera pemuda kita bukan sahaja di peringkat cawangan, tetapi juga ranting, terus bergerak aktif merapatkan saf dalam kalangan anak muda.

“Mereka perlu bergerak seiring dengan sayap belia supaya golongan ini dapat terus diperkasakan dan diberikan ruang untuk memainkan peranan dalam parti serta pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pemuda Saribas Prihatin di Rumah Panjang Entawa, dekat sini.

Program anjuran Pergerakan Pemuda PBB Saribas yang diketuai Kaunselor Mohd Saperi Kawi itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 19 pintu rumah panjang sebagai tanda keprihatinan dan usaha membantu meringankan beban penduduk.

Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat, malah membuka ruang kepada pemimpin dan jentera parti mendekati penduduk secara lebih dekat.

Menurutnya, hubungan antara pemimpin dengan masyarakat perlu terus dipelihara melalui pendekatan turun padang, mendengar permasalahan rakyat serta memahami keperluan mereka, khususnya golongan belia.

Beliau turut berharap pengundi di kawasan Saribas, terutama anak muda, sentiasa peka dan mengambil tahu setiap inisiatif serta usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan GPS demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, generasi muda perlu menilai setiap usaha kerajaan secara menyeluruh dan tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan kawasan serta negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU