SARIKEI: Kerajaan Sarawak memperkukuh agenda pembangunan belia dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk mengasah bakat, membina keyakinan diri dan meningkatkan keupayaan menerusi aktiviti berfaedah.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata pendekatan itu penting bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran, malah mampu menjadi tenaga penggerak kepada kemajuan negeri pada masa depan.
Katanya, program berasaskan sukan antara medium yang berkesan untuk membentuk golongan belia secara menyeluruh kerana ia menggalakkan disiplin, kerjasama, kepimpinan serta semangat kesukanan.
“Penganjuran aktiviti seperti pertandingan bola keranjang memberi peluang kepada golongan muda menggunakan masa dengan perkara yang positif, selain menyediakan ruang untuk mereka berinteraksi dan mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Bola Keranjang Sarikei, di sini, hari ini.
Tiong Sii berkata, pembangunan belia tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira penglibatan mereka dalam sukan, kepimpinan, aktiviti kemasyarakatan dan pembentukan peribadi.
Menurutnya, penyertaan masyarakat daripada pelbagai kelompok umur dalam kegiatan sukan turut membantu merapatkan hubungan antara anggota keluarga serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Beliau pada masa yang sama merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di negeri ini, termasuk usaha menyediakan kemudahan sukan berkualiti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Katanya, kemudahan dan program yang disediakan secara berterusan akan membantu memastikan lebih ramai anak muda mempunyai akses kepada aktiviti yang sihat, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menyerlahkan bakat dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak.




