KUALA LUMPUR: Sarawak Shell Berhad (SSB), anak syarikat Shell plc, memulakan pengeluaran gas daripada medan Rosmari dan Marjoram yang terletak kira-kira 220 kilometer dari pesisir pantai Sarawak, hari ini.
Pengeluaran itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran Shell sehingga 2030-an, selain meningkatkan bekalan gas bagi memenuhi keperluan tenaga negara.
Presiden Upstream Shell, Peter Costello, berkata permulaan pengeluaran itu mencerminkan kepakaran syarikat dalam industri minyak dan gas di Malaysia, selain memanfaatkan pengalaman puluhan tahun dalam membangunkan sumber gas negara.
“Shell berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaannya di Malaysia. Kami mempunyai kepakaran kukuh di lembangan ini dan permulaan operasi Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga 2030-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, projek itu dibangunkan berdasarkan pengalaman sedia ada bagi memastikan bekalan gas baharu dapat disalurkan secara cekap dan berdaya saing.
Gas yang dikeluarkan daripada medan berkenaan akan disalurkan menerusi paip sepanjang 207 kilometer ke loji pemprosesan gas baharu di Bintulu sebelum dibekalkan ke Kompleks LNG PETRONAS.
Pembangunan itu merangkumi kemudahan bawah laut, pelantar kepala telaga tanpa pemandu serta loji pemprosesan gas di darat.
Pelantar luar pesisir berkenaan menggunakan tenaga solar dengan penjana diesel sebagai sumber tenaga sandaran, manakala loji pemprosesan di darat menggunakan bekalan elektrik berasaskan tenaga hidro yang disokong sijil tenaga boleh baharu bagi mencapai penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu.
Sementara itu, Pengerusi Negara dan Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia Shell, Siti Sulaiman, berkata permulaan pengeluaran Rosmari-Marjoram menjadi pencapaian penting bagi Shell di Malaysia dan mencerminkan kerjasama erat dengan PETRONAS, Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Sarawak.
“Shell kekal komited membantu memenuhi keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara menerusi pelaburan yang berdaya saing serta berdaya tahan,” jelasnya.
Medan Rosmari dan Marjoram ditemui pada 2014 di perairan berkedalaman kira-kira 800 meter.
Gas yang dihasilkan mengandungi hidrogen sulfida dan perlu melalui proses penyingkiran di loji pemprosesan di Bintulu.
Shell membuat keputusan pelaburan akhir bagi pembangunan projek itu pada September 2022.
SSB merupakan pengendali projek dengan pegangan ekuiti sebanyak 71 peratus, manakala rakan kongsinya terdiri daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, INPEX Malaysia E&P 2E Sdn Bhd dan SEARAH (Malaysia) Sdn Bhd.
Selain Rosmari-Marjoram, Shell turut mempunyai kepentingan dalam beberapa medan pengeluaran di luar pesisir Sarawak, termasuk Timi dan Gorek, selain meneroka peluang pembangunan lain di lembangan berkenaan.
Loji pemprosesan gas di Bintulu itu juga merupakan projek darat terbesar SSB di Sarawak sejak penghujung 1970-an.




