KUCHING: Sarawak memainkan peranan penting dalam pasaran tenaga global dengan Pelabuhan Bintulu mengendalikan kira-kira enam peratus bekalan gas asli cecair (LNG) dunia, sekali gus membuktikan kedudukan strategik negeri dalam industri tenaga antarabangsa.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, sumbangan tersebut membuktikan kekuatan ekonomi negeri yang memiliki kekayaan sumber asli, meskipun hanya mewakili sekitar lapan peratus penduduk Malaysia.
Menurutnya, Sarawak yang meliputi kira-kira 38 peratus keluasan daratan negara turut mempunyai potensi besar untuk memperluas peranannya dalam industri tenaga, khususnya melalui pembangunan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

“Daripada sebuah pelabuhan di Bintulu sahaja, kita menyumbang kira-kira enam peratus bekalan LNG dunia, tetapi tidak ramai yang mengetahui perkara ini.
“Bayangkan betapa pentingnya Sarawak kepada pasaran tenaga antarabangsa, sedangkan negeri kita hanya mempunyai kira-kira lapan peratus daripada jumlah penduduk Malaysia,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan 2026 di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut ujarnya, kedudukan Sarawak dalam pasaran LNG semakin penting apabila perkembangan geopolitik dunia menunjukkan betapa keselamatan laluan perdagangan tenaga boleh mempengaruhi ekonomi antarabangsa.
“Perkembangan di Asia Barat dan Selat Hormuz memperlihatkan kepentingan sesebuah kawasan yang menjadi hab pengeluaran atau pengangkutan tenaga kepada kestabilan bekalan antarabangsa.
“Saya sendiri sebelum ini tidak begitu menyedari bahawa Selat Hormuz mempunyai peranan yang begitu besar dalam perdagangan LNG dunia.
“Begitu juga dengan Bintulu. Kita mempunyai pelabuhan yang sangat penting kepada industri tenaga, tetapi masih ramai yang belum mengetahui sumbangan besar Sarawak,” jelasnya.
Justeru ujarnya, kedudukan strategik tersebut seharusnya dimanfaatkan untuk memperkenalkan Sarawak dengan lebih meluas kepada masyarakat dan pelabur antarabangsa.
“Malah, Sarawak kini semakin dikenali sebagai hab serantau bagi pembangunan tenaga hijau dan tenaga boleh baharu, selain peranannya sebagai pengeluar LNG.
“Dalam masa yang sama, hala tuju pembangunan negeri turut memberikan tumpuan kepada teknologi tenaga masa depan, termasuk industri bateri dan penyimpanan tenaga yang berpotensi memenuhi keperluan pasaran serantau,” katanya.
Beliau berpandangan, kekayaan sumber asli serta kemajuan teknologi memberikan Sarawak kelebihan untuk membangunkan industri bernilai tinggi dan memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan pembangunan bukan hanya bergantung kepada sumber ekonomi, sebaliknya turut memerlukan kestabilan, perpaduan dan penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Setiap komuniti mempunyai peranan dalam pembangunan negeri tanpa mengira jumlah penduduk, termasuk masyarakat Asia Selatan yang memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang profesional dan kepimpinan,” tegasnya.


