KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret kerana memiliki 0.08 gram dadah jenis syabu di dalam sebuah bilik stor di Kampung Tabuan Jaya Ulu, Jun lalu.
Lelaki tempatan berusia 59 tahun tersebut mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama, kerana memiliki 0.08 gram dadah jenis methamphetamine.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun hingga lima tahun, dan sebatan tidak kurang daripada tiga hingga sembilan sebatan.
Dia melakukan kesalahan itu di dalam bilik stor sebuah rumah di Kampung Tabuan Jaya Ulu, sekitar 11.30 pagi, 30 Jun lalu.
Fakta kes mendedahkan bahawa satu serbuan dilakukan oleh pihak polis di bilik stor belakang rumah tertuduh kerana dipercayai terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah.
Semasa pemeriksaan, menjumpai satu plastik lut sinar berisi ketulan kristal yang dipercayai mengandungi dadah jenis syabu berada di dalam genggaman tertuduh.
Barang kes dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan disahkan ia dadah jenis methamphetamine seberat 0.08 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




