MUKAH: Seorang lelaki dengan enam rekod jenayah lampau ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tutus Hilir, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek, 27, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi Ops Tapis kira-kira 8.40 pagi.
“Pemeriksaan awal terhadap suspek bagaimanapun tidak menemukan sebarang barang salah.

“Namun, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan menemukan satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dan berasal dari Sibu itu kemudian ditahan sebelum dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Jelasnya, hasil saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah terdahulu membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk kes berkaitan dadah.
“Suspek direman selama tiga hari sehingga 20 November ini bagi melengkapkan siasatan dan kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Tambah Rizal, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menghubungi IPD Mukah menerusi talian 084-871222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa.




