BALINGIAN: Pelaksanaan projek SMK Balingian perlu dipercepat bagi memastikan pelajar di kawasan itu dan komuniti sekitarnya mendapat akses kepada kemudahan pendidikan menengah yang lebih baik.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi berkata, penubuhan sekolah berkenaan merupakan pelaburan penting untuk masa depan generasi muda serta pembangunan berterusan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
“Kemudahan pendidikan menengah yang mencukupi amat penting bagi memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan yang sama rata dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan menyokong perkembangan mereka.
“Justeru, saya memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama agensi kerajaan berkaitan supaya memberikan keutamaan kepada projek ini dan mempercepat semua proses yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, katanya, proses berkenaan termasuk perancangan, kelulusan, peruntukan kewangan serta pelaksanaan projek mengikut keperluan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan merupakan pelaburan asas dalam pembangunan modal insan dan kemakmuran masa depan kawasan berkenaan.
Justeru, dengan pelaksanaan SMK Balingian yang dipercepat, ia mencerminkan komitmen kerajaan dengan pembangunan seimbang serta akses pendidikan yang saksama untuk semua lapisan masyarakat.


