MUKAH: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu mempergiat usaha menyatukan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya bagi memastikan keharmonian yang dinikmati di Sarawak terus terpelihara.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, KRT mempunyai peranan penting sebagai penggerak perpaduan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, ini menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keselamatan dan pembangunan sosioekonomi.
“Kejayaan sesebuah KRT tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaannya membina kepercayaan dan menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

“Semangat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemimpin serta ahli KRT amat penting bagi memastikan usaha memperkukuh perpaduan terus mencapai matlamatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Semarak Perpaduan KRT Bahagian Mukah Tahun 2026 di Kingwood Resort, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Bahagian Mukah merupakan keistimewaan yang perlu dipelihara kerana perbezaan latar belakang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama masyarakat.
Ujarnya, kepelbagaian itu perlu dijadikan asas untuk membina hubungan yang lebih erat berteraskan sikap saling menghormati, memahami dan membantu antara satu sama lain.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih matang dan bertanggungjawab ketika berhadapan cabaran semasa, termasuk penyebaran maklumat tidak tepat serta perbezaan pandangan di media sosial.
Dalam pada itu, Fatimah menegaskan bahawa, generasi muda perlu didedahkan kepada nilai perpaduan, semangat patriotisme dan penghayatan Rukun Negara supaya keharmonian yang dibina hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Tambahnya, Sarawak telah membuktikan bahawa kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, malah menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat dalam semangat kekeluargaan dan kebersamaan.



