SARIKEI: Pembinaan stadium tertutup baharu di daerah ini dijangka memberi lonjakan kepada pembangunan sukan, belia dan aktiviti kemasyarakatan setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kemudahan itu bakal menyediakan ruang yang lebih selesa dan bersesuaian untuk penganjuran pelbagai program berkaitan.
Pada masa yang sama katanya, kemudahan itu turut memberi manfaat kepada atlet, belia dan persatuan tempatan yang memerlukan prasarana lebih baik bagi menjalankan aktiviti masing-masing.
“Saya ingin menzahirkan terima kasih atas pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei baru-baru ini,” katanya ketika merasmikan Tarian Singa anjuran Persatuan Buddha Orthodox Sarikei, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Tiong Sii berkata, aktiviti seni dan budaya perlu terus diperkasakan sebagai medium penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, pelibatan golongan belia dalam aktiviti seperti tarian singa dan naga bukan sahaja membantu memastikan warisan budaya terus diwarisi, malah membentuk disiplin serta semangat kerjasama.
“Usaha memelihara seni, muzik tradisional dan adat resam pelbagai kaum penting supaya warisan budaya terus hidup dan menjadi lambang perpaduan masyarakat Sarawak,” katanya.




