SEBUYAU: Kerjasama strategik ETFDP Sarawak, SK Raba dan PPD Simunjan berjaya memperkasa Bengkel Bola Sepak ‘Ola Bola SK Raba’ 2026 yang berlangsung di SK Raba, Sebuyau.
Program ini dianjurkan bersama SK Raba dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan dengan pelibatan ETFDP Sarawak dalam aspek pembangunan dan kejurulatihan bola sepak.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada pembangunan sukan bola sepak peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan murid sekolah di kawasan luar bandar.

Pengarah Urusan ETFDP Sarawak, Zanawi Zen memberitahu, kerjasama strategik bersama PPD Simunjan dan SK Raba itu merupakan satu inisiatif penting dalam memperkasa pembangunan sukan bola sepak, khususnya di kawasan luar bandar dengan pelibatan sama jurulatih Wan Asfia Wan Bagus dan Syaifuddin Yassin dari ETFDP Sarawak bagi mengendalikan bengkel tersebut sambil dibantu oleh guru-guru SK Raba.
Beliau menegaskan, peluang mendapatkan pendedahan dan latihan berkualiti perlu diperluas agar murid-murid di kawasan luar bandar turut mempunyai ruang dan peluang yang sama untuk mengenal pasti serta mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang sukan serta memperkasakan bidang kejurulatihan melalui guru-guru terlibat.
Tegas Zanawi, perkongsian kepakaran kejurulatihan antara organisasi pembangunan sukan dan institusi pendidikan mampu mewujudkan asas pembangunan bakat yang lebih tersusun.
Sekali gus, membuka peluang kepada lebih ramai pemain muda untuk diketengahkan pada masa hadapan.
Sementara itu, Guru Besar SK Raba, Wan Zakaria Wan Rosli, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu inisiatif positif yang memberikan nilai tambah kepada pembangunan kokurikulum dan sukan sekolah.
Menurut beliau, pendedahan secara langsung kepada latihan yang dikendalikan jurulatih ETFDP Sarawak dapat membantu murid meningkatkan kemahiran permainan, membina keyakinan diri serta memupuk nilai disiplin dan semangat berpasukan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, satu sesi penyerahan bola kepada pihak sekolah terbabit daripada ETFDP Sarawak sebagai sumbangan sokongan bagi membantu memperkukuh aktiviti latihan dan pembangunan sukan bola sepak di peringkat sekolah.




