SIBU: Kementerian Komunikasi tidak akan berkompromi terhadap kontraktor yang gagal mematuhi jadual pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur penyiaran di Sarawak, termasuk pembinaan kuarters kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu yang dijadualkan siap pada 17 September 2027.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menegaskan bahawa pematuhan spesifikasi teknikal, kualiti pembinaan dan tempoh kontrak merupakan perkara mandatori yang tidak boleh dipandang ringan oleh kontraktor.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kontraktor yang gagal menunjukkan komitmen.

Tindakan pentadbiran kontrak yang ketat termasuk klausa ganti rugi kelewatan (LAD) serta tindakan tatatertib akan terus dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembangunan kuarters Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sibu di sini pada Isnin.
Mengulas status projek berkenaan, Teo berkata kelewatan pelaksanaan sebelum ini berpunca daripada keadaan tanah yang memerlukan kerja cerucuk lebih mendalam dan banyak berbanding anggaran asal dalam Senarai Kuantiti (BQ).
Katanya, spesifikasi awal menetapkan kedalaman cerucuk 21 meter bagi setiap poin, namun keadaan sebenar di tapak memerlukan kedalaman sehingga 48 meter.
“Susulan keadaan itu, Lanjutan Masa (EOT) No. 1 selama 45 hari diluluskan, dengan tarikh siap semasa ditetapkan pada 17 September 2027.
“Projek berkenaan merangkumi pembinaan 16 unit kuarters, terdiri daripada 12 unit Kelas G dan empat unit Kelas F yang dibina dalam bentuk pangsapuri dua tingkat,” ujar Ahli Parlimen Kulai itu.
Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 14.77 peratus.
Menurut Teo, penyediaan kemudahan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif itu turut mencerminkan perhatian kerajaan dengan kebajikan petugas RTM, khususnya mereka yang bertugas jauh dari keluarga dan kampung halaman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak enam projek pembangunan sambungan RP1 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sedang dilaksanakan di Sarawak, melibatkan satu projek di bawah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan lima projek di bawah RTM.
Daripada jumlah itu, lima projek sedang aktif dalam pembinaan di tapak, manakala satu projek iaitu Naik Taraf Studio HD RTM Kuching berada dalam fasa perolehan atau pasca-Surat Setuju Terima (SST).
“Lima projek yang sedang dalam pembinaan itu melibatkan Bintulu, Sibu, Sri Aman, Limbang serta bangunan tambahan JAPEN Kuching,” kata beliau.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkukuh kemudahan penyiaran digital, khususnya bagi meningkatkan penyelarasan perkhidmatan di wilayah utara Sarawak menerusi pusat penyelarasan RTM Bintulu.
Katanya, lawatan kerja itu bertujuan memantau perkembangan projek selain memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut spesifikasi dan ketetapan kontrak.
Taklimat projek disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana.




