KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak sudah mengenal pasti beberapa calon pemain baharu untuk memperkuat skuad The Cats menjelang jendela perpindahan Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan berkata, pihak pengurusan sudah memulakan perbincangan keperluan memperkukuh beberapa posisi dalam pasukan.
“Ketua jurulatih sedang menilai seorang atau dua pemain ketika ini.
Memang ada beberapa nama dalam perbincangan, tetapi kita perlu melihat keperluan pasukan terlebih dahulu.
“Kita sudah memulakan perbincangan untuk mengenal pasti bahagian penting yang perlu ditambah baik dalam pasukan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Iswandi menegaskan pihak pengurusan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Aidil untuk menentukan pemain yang sesuai dengan perancangan taktikal pasukan.
Bagaimanapun, katanya, setiap cadangan pengambilan perlu melalui penilaian kewangan bagi memastikan kelab tidak menanggung komitmen di luar kemampuan.
Menurut Iswandi, Kuching City menyasarkan pengambilan minimum dua pemain baharu, namun jumlah itu berpotensi meningkat sehingga empat pemain sekiranya kedudukan kewangan kelab mengizinkan.
Beliau berkata, penambahan pemain diperlukan susulan jadual pertandingan yang padat, selain masalah kecederaan yang mengehadkan pilihan Aidil sepanjang musim ini.
Setakat ini, identiti calon pemain berkenaan belum didedahkan dan sebarang pengambilan masih tertakluk kepada hasil perbincangan antara barisan kejurulatihan dengan pihak pengurusan Kuching City.




