KUCHING: Bintangor bakal menjadi tumpuan komuniti permotoran dengan jangkaan 1,000 peminat motosikal hadir berkumpul pada 22 November ini bagi memeriahkan Himpunan Motosikal Bintangor (BBG) 2026.
Pengerusi Pengelola BBG, Abang Husen Abang Yusuf berkata, penganjuran di Dewan Masyarakat Bintangor dari 8 pagi hingga 5 petang itu memberi tumpuan kepada pertandingan pameran motosikal bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang permotoran secara kreatif dan berorganisasi.
“Fokus utama kita ialah pertandingan pameran motosikal untuk menarik minat golongan muda mengetengahkan kreativiti, kemahiran dan hasil pengubahsuaian jentera masing-masing.

“Kita turut menyediakan acara sampingan Perhimpunan Kelab Terbaik bagi menghimpunkan kelab motosikal serta mengeratkan hubungan antara komuniti permotoran,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Abang Husen berkata, penyertaan dijangka melibatkan kelab dan peminat motosikal dari Meradong, Sarikei, Sibu, Kuching serta daerah berhampiran, termasuk pemilik motosikal berkuasa besar, kapcai dan skuter.
Beliau berkata, kehadiran peserta dari luar kawasan turut dijangka memberi manfaat kepada ekonomi setempat, khususnya peniaga makanan, aksesori motosikal, bengkel dan usahawan kecil di sekitar Bintangor.
Dalam pada itu, pihak penganjur berhasrat menjadikan BBG sebagai acara tahunan yang mampu menarik penyertaan lebih luas dari seluruh Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan pada masa akan datang.
Menurutnya, pertandingan pameran motosikal mempertandingkan lima kategori utama, iaitu Kapcai Standard Terbuka, Skuter Standard Terbuka, Kapcai Modifikasi Terbuka, Skuter Modifikasi Terbuka dan Motosikal Terbaik Terbuka.
Kategori khas kapcai turut menawarkan lapan anugerah termasuk LC135 Terbaik, Y15/Y16 Terbaik, Honda Terbaik, Dua Lejang Terbaik, Pelekat Terbaik, Rekaan Semburan Udara Terbaik, Cat Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Bagi kategori khas skuter pula, antara anugerah dipertandingkan ialah NMAX/XMAX Terbaik, Vario Terbaik, Pelekat Terbaik, Cat Terbaik, Rekaan Semburan Udara Terbaik, Motosikal Rendah Terbaik, Karbon Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Pertandingan turut menyediakan anugerah Terbaik Antara Terbaik, Kapcai Terbaik Antara Terbaik dan Skuter Terbaik Antara Terbaik, dengan yuran penyertaan RM30 bagi kategori berbayar, manakala kategori terbaik keseluruhan tertentu ditawarkan secara percuma.




