KUCHING: Memandu tanpa lesen, tidak memakai tali pinggang keledar dan melanggar syarat permit antara kesalahan yang dikesan ketika 157 kenderaan diperiksa dalam Ops Patuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, semalam.
Operasi yang dilaksanakan oleh Unit FALCON JPJ Kuching itu melibatkan rondaan dan pemantauan di sepanjang Jalan Kuching–Serian serta sekitar bandar raya ini bagi mengesan pelanggaran peraturan jalan raya.
JPJ Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kenderaan itu turut mengesan kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan kenderaan yang digunakan memenuhi syarat keselamatan serta berada dalam keadaan baik sebelum digunakan di jalan raya,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak mengingatkan semua pemandu supaya memastikan lesen memandu masing-masing masih sah, selain sentiasa memakai tali pinggang keledar ketika memandu.
Pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan pula dinasihatkan supaya mematuhi syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.
Dalam pada itu, JPJ Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Jabatan itu turut memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan lalu lintas serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.


