ARTIKEL

Pasukan MEC x AZH All Star muncul juara PUBG Mobile Terbuka pada SAREX26, di Perkampungan Sukan, Petra Jaya, Kuching, Ahad lalu.

MEC x AZH All Star juara PUBG Mobile SAREX26, bawa pulang RM10,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gandingan Maqna eSports Club (MEC) dan pasukan baharu dari Kuching, AZH All Star membuahkan kejayaan apabila dinobatkan juara PUBG Mobile Terbuka pada Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) dengan mengumpul 87 mata keseluruhan, sekali gus membawa pulang RM10,000.

Pemain MEC x AZH All Star, Amirul Adli berkata, kejayaan itu merupakan hasil latihan tersusun dan semangat juang tinggi seluruh pasukan yang berjaya mengekalkan kedudukan teratas sehingga perlawanan terakhir.

“Kunci kejayaan kami ialah latihan yang tersusun dan semangat juang kompetitif dalam kalangan pemain.

FOKUS… Mopin (kanan) bersama-sama rakan sepasukan MEC x AZH merencanakan strategi permainan dalam saingan PUBG Mobile SAREX26.

Kami sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan.

“Selepas ini, sasaran kami adalah untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam kejohanan akan datang,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Mengulas penganjuran SAREX26, Amirul menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan anak muda Sarawak yang berminat membina kerjaya dalam sukan elektronik.

MOMEN MANIS… Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Mopin (dua, kanan) selepas mendapat WWCD.

“SAREX26 merupakan satu usaha yang sangat baik untuk mencungkil bakat anak Sarawak.

Terima kasih kepada pihak penganjur kerana menyediakan platform seperti ini yang turut membantu memperkukuh komuniti e-sukan di negeri ini,” jelasnya.

MEC x AZH All Star mengesahkan kejuaraan menerusi 28 mata kedudukan dan 59 mata penyingkiran, selain mencatat satu kemenangan pusingan atau Winner Winner Chicken Dinner (WWCD) sepanjang saingan.

Kejayaan itu diperoleh menerusi gandingan lima pemain, iaitu Aiman Amirul ‘ManParang’, Mohd Izzrudin Hashim ‘Jumper’, Azim Hariss ‘Dep’, Che Muhamad Uwais Tsaqif ‘Uwais’ dan Amirul Adli ‘Mopin’.

Menariknya, MEC merupakan organisasi e-sukan Malaysia yang pernah menjuarai PUBG Mobile Pro League (PMPL) Malaysia 2026 bagi musim Spring dan Fall, manakala AZH All Star dari Kuching sebelum ini lebih aktif dalam sukan futsal sebelum mula menceburi arena PUBG Mobile.

Sementara itu, Adriana Gold x HPV muncul naib juara dengan 70 mata keseluruhan untuk membawa pulang RM6,000, manakala Team Error menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 65 mata berserta hadiah RM4,000.

Pemain Adriana Gold x HPV, HLVxNeon turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) selepas merekodkan 20 mata penyingkiran, sekali gus menerima ganjaran RM1,000.

Pertandingan PUBG Mobile berkenaan menghimpunkan 51 pasukan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia yang berentap menggunakan empat peta permainan, iaitu Rondo, dua pusingan Erangel serta Miramar.

Kejohanan itu menjadi antara acara utama SAREX26 yang berlangsung dari 13 hingga 15 November di Perkampungan Sukan Sarawak, Petra Jaya dengan hadiah keseluruhan RM50,000 ditawarkan bagi semua kategori pertandingan.

Pada majlis penutupan Ahad lalu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi turut menegaskan komitmen Sarawak untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam industri e-sukan, teknologi dan kandungan digital.

“Sarawak sentiasa membuka peluang untuk bekerjasama. Sekiranya terdapat peluang dalam bidang e-sukan, permainan digital, teknologi, animasi, kandungan digital, pelancongan mahupun industri sukan secara lebih luas, kita mengalu-alukan perbincangan,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi; Setiausaha Agung Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF), Boban Totovski serta Pengurus Kanan Pejabat Ekonomi Digital Negeri MDEC bagi Sarawak dan Sabah, Awang Safri Awang Ahmad.

BERITA LAIN

Wanita Sarawak mampu terajui pelbagai sektor

KUCHING: Golongan wanita berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan Sarawak pada masa depan, didorong peluang pendidikan tinggi dan pembangunan bakat yang disediakan Kerajaan Sarawak

BERITA TERBARU