MUKAH: Kempen Liga Setia Raja MUFA 2026 (LSRM 2026) yang akan disingkap tirainya Sabtu ini menjanjikan pertarungan cukup sengit mengambil kira himpunan pelbagai pasukan handalan yang turut serta.
Jika kebanyakan pasukan yang bersaing kali ini tampil dengan misi masing-masing, tidak terkecuali bagi juara tiga kali – Squad Rhinos yang turut memasang impian memburu gelaran juara keempat mereka dalam kejohanan berprestij itu.
Ketua jurulatih, Sahran Abdul Samad menegaskan, itu antara misi utama pasukannya musim ini.
Bagaimanapun, Sahran melihat tiada jalan mudah untuk pemainnya menggapai impian tersebut.
Beliau akui, saingan untuk LSRM 2026 dijangka cukup sengit dan mencabar.
“Kita sedia menghadapi gelora sebenar LSRM 2026 yang akan disingkap tirainya Sabtu ini.
Misi awal kita cuba untuk memburu gelaran juara keempat,” ujar Sahran kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menegaskan, persiapan pasukannya berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
Mengulas aksi buka tirai menentang Jepak Sabtu ini, Sahran menyatakan bahawa kemenangan menjadi buruan untuk mendapatkan tiga mata berharga.
“Penting bagi kami untuk beroleh tiga mata untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Jepak Sabtu ini.
“Tiga mata awal jika berjaya diperoleh, ia merupakan penanda aras sebenar serta dapat membentuk hala tuju Squad Rhinos selepas ini,” menurut Sahran.


