ARTIKEL

Program Sarawakku Sayang 2026 melabuhkan tirai di Metrocity Matang


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Siri penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 bakal melabuhkan tirainya minggu hadapan di lokasi ke-12, pada 24 dan 25 November depan, di Metrocity Matang.

Menurut kenyataan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), penganjuran di Bahagian Kuching itu menjadi kemuncak usaha Kerajaan Sarawak mendekatkan perkhidmatan awam serta menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif pembangunan negeri secara langsung kepada rakyat.

Menerusi program itu, pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik akan dihimpunkan dalam satu kawasan pameran bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat, perkhidmatan serta bantuan yang disediakan.

“Pendekatan ini selari dengan iltizam Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati hasil pembangunan, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Sepanjang dua hari program berlangsung, pengunjung berpeluang mengunjungi pelbagai pameran dan kaunter yang memaparkan dasar, program serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual hadir menyempurnakan majlis perasmian program pada 3 petang, 25 November (Rabu) di Khemah Utama, Metrocity Matang.

Selain pameran dan kaunter perkhidmatan, ruang interaksi bersama-sama pegawai agensi turut disediakan bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat tepat, khidmat nasihat serta penyelesaian berkaitan urusan perkhidmatan awam.

Antara tumpuan utama ialah kaunter pertanyaan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang menyediakan penerangan syarat kelayakan, kadar bantuan serta kaedah penyaluran bantuan secara digital menerusi platform SPay Global.

“Di bawah SKAS 2026, isi rumah yang layak menerima bantuan sebanyak RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375.

“Dengan anggaran hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak, inisiatif ini menjadi antara usaha penting kerajaan negeri dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup,” jelas kenyataan itu.

Bagi pelajar dan ibu bapa pula, maklumat berkaitan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) turut disediakan, merangkumi institusi pengajian yang terlibat, bidang pengajian serta syarat kelayakan.

Sementara itu, JobSarawak menyediakan maklumat peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya dan padanan pekerjaan dengan majikan yang mengambil bahagian, khususnya untuk membantu golongan belia serta pencari kerja.

Inisiatif berkenaan turut menyokong agenda Kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

Pengunjung juga berpeluang menjalani saringan kesihatan dan kecergasan secara percuma, selain mengunjungi pameran kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga kesihatan diri.

Bagi memeriahkan penganjuran terakhir siri SKS 2026, pelbagai aktiviti santai dan hiburan turut disediakan sepanjang dua hari program, termasuk sukaneka rakyat, Konsert Rakyat serta e-Peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Selain menjadi platform penyampaian perkhidmatan secara langsung, program SKS turut berperanan mengetengahkan pencapaian serta agenda pembangunan Sarawak berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Melalui pendekatan itu, masyarakat berpeluang memahami dengan lebih jelas hala tuju pembangunan negeri serta manfaat yang bakal dinikmati dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan ekonomi yang maju, inklusif dan mampan menjelang 2030.

Justeru, SKS 2026 bukan sekadar menjadi medan mendekatkan kerajaan dengan rakyat, malah memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap pelbagai inisiatif dan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan bersama.

BERITA LAIN

Wanita Sarawak mampu terajui pelbagai sektor

KUCHING: Golongan wanita berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan Sarawak pada masa depan, didorong peluang pendidikan tinggi dan pembangunan bakat yang disediakan Kerajaan Sarawak

BERITA TERBARU