KUCHING: Kepelbagaian identiti dan bahasa etnik di Borneo bukan sahaja diwarisi menerusi seni serta tradisi masyarakat tempatan, malah terus diperluas melalui ekspresi muzik moden sehingga mampu diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Perkara itu turut diterjemahkan menerusi penganjuran Borneo Metal Titan II (BMT II) – Wrath Upon Borneo yang menghimpunkan kumpulan muzik dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia pada 5 Disember ini.

Antara keunikan yang bakal diketengahkan ialah Sufibon dari Belaga yang membawa identiti masyarakat Kenyah menerusi karya berkonsepkan metalcore dengan penggunaan bahasa Kenyah.
Kumpulan itu bukan sahaja menghasilkan dan merakamkan lagu dalam bahasa ibunda mereka, malah baru-baru ini melancarkan video muzik pertama sebagai langkah memperluas perjalanan seni ke luar Sarawak.

Selain itu, Deadshot dari Kuching turut membawa identiti masyarakat Bidayuh dan Iban menerusi karya beraliran thrash metal yang menggunakan kedua-dua bahasa tersebut.
Kumpulan itu juga mempunyai pengalaman membuat persembahan di London sepanjang perjalanan muzik mereka, sekali gus membuktikan karya berteraskan bahasa etnik tempatan berupaya menembusi khalayak antarabangsa.

Keunikan Deadshot turut terserlah menerusi slogan “Thrash nyentuk ke parai” yang menjadi identiti tersendiri kumpulan itu, khususnya ketika mengadakan persembahan di luar Sarawak.
Sementara itu, Momporok Chronicles dari Sabah pula memperkenalkan konsep tersendiri menerusi Dusuncore, iaitu gabungan penggunaan dialek Dusun dengan pendekatan muzik berentak keras.

Nama Momporok yang merujuk kepada sejenis cili yang jarang ditemui dan menjadi makanan burung bulbul di Sabah turut menjadi asas kepada pembentukan identiti keseluruhan kumpulan berkenaan.
Menurut jurucakap Midlife Crisis, BMT II bukan sekadar menghimpunkan pemuzik dari pelbagai wilayah, malah berperanan sebagai platform memperkenalkan perkembangan seni muzik moden serta kepelbagaian budaya masyarakat Borneo.

“Borneo Metal Titan merupakan sebuah acara dan platform yang berjaya mengetengahkan muzik moden serta menjadi sesuatu yang informatif sesuai untuk para pendengar mempelajari budaya dari setiap daerah, negeri dan negara di Borneo,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran edisi kali ini turut menampilkan pembaharuan menerusi kepelbagaian genre dan kumpulan yang mempunyai pengalaman luas dalam industri muzik bawah tanah.
Antara kumpulan yang mempunyai rekod persembahan di luar Sarawak termasuk Hemewrath, Breathe in Ocean dan Exhale My Ozone yang turut dikenali sebagai antara kumpulan deathcore terkemuka dari negeri ini.
Menurutnya, kepelbagaian latar belakang serta pengalaman persembahan kumpulan terbabit memberikan nilai tambah kepada penganjuran kali ini, selain membuka ruang kepada pemuzik tempatan untuk memperluas jaringan dan pengaruh mereka.
BMT II – Wrath Upon Borneo anjuran Midlife Crisis Event dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini di 13 Box K. Bar, MJC, dengan penyertaan 11 kumpulan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat.
Kemasukan adalah percuma kepada semua pengunjung.



