Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac mengumumkan beliau mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya, Francisca Luhong James.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Hans menerusi hantaran di Instagram pada Isnin, sekali gus menarik perhatian peminat dan warga maya.
Menerusi hantaran berkenaan, Hans memuat naik gambar cincin pertunangan berserta kapsyen ringkas yang cukup bermakna, menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan peribadinya.
“Dia berkata… YA! Selamanya bersama insan kesayangan saya. Melangkah ke alam kehidupan bersama bakal isteri saya yang berketurunan Kayan dan Iban,” tulisnya.


Beliau turut menyifatkan keputusan untuk mengikat tali pertunangan itu sebagai antara keputusan terbaik yang pernah diambilnya.
Francisca merupakan anak jati Kuching, Sarawak, yang berketurunan Kayan dan Iban.
Beliau tidak asing dalam dunia peragaan dan pertandingan ratu cantik apabila pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020.

Francisca turut mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila mewakili negara dalam pertandingan Miss Universe 2020.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada rakan industri seni dan warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa agar hubungan pasangan itu berkekalan hingga ke jenjang pelamin.




