ARTIKEL

Ekonomi Malaysia kekal kukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2026 dijangka berkembang 5.3 peratus, selaras dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jangkaan itu berdasarkan unjuran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga yang akan diumumkan DOSM esok.

“Setakat ini, seperti yang kita unjurkan, anggaran awal pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga adalah pada 5.3 peratus.

“Berdasarkan dapatan sebelum ini, ketika anggaran awal dibuat, terdapat beberapa maklumat atau data yang belum disempurnakan sepenuhnya.

“Oleh itu, saya menjangka unjuran esok, jika tidak sama sekalipun, perbezaannya tidaklah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Dewan Seri Siantan, di sini, semalam.

Akmal Nasrullah berkata, berdasarkan pengumuman terdahulu, anggaran awal DOSM lazimnya tidak jauh berbeza daripada angka sebenar kerana mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Sebelum ini, DOSM menganggarkan ekonomi negara berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga, manakala pertumbuhan KDNK bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 mencecah 5.5 peratus.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi yang berterusan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, termasuk melalui penambahbaikan struktur gaji.

Katanya, kerajaan bukan sahaja perlu memastikan pelaksanaan kenaikan gaji minimum, malah menangani isu wage compression atau pemampatan gaji, khususnya membabitkan pekerja separa mahir dan mahir.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 pada 2027, namun struktur gaji secara keseluruhan perlu diberi perhatian bagi memastikan peningkatan produktiviti turut diterjemahkan kepada pendapatan pekerja.

“Cabarannya sudah pasti adalah bagaimana menangani masalah wage compression atau pemampatan gaji pada peringkat pekerja separa mahir dan mahir yang mungkin tidak meningkat seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengenalan gaji permulaan graduan menerusi Belanjawan 2027, dengan kaedah pelaksanaannya mengambil kira kemahiran, tanggungjawab dan jenis pekerjaan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan struktur gaji negara berkembang dengan lebih tersusun dan tidak hanya bergantung pada peningkatan gaji minimum.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi perlu disertai peningkatan produktiviti serta pengagihan pendapatan yang lebih baik supaya manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

500 kematian akibat denggi

DHAKA (BANGLADESH): Angka korban akibat demam denggi di Bangladesh meningkat kepada 502 orang selepas pihak berkuasa kesihatan melaporkan tiga lagi kematian akibat penyakit bawaan nyamuk

Francisca tambat hati Hans Isaac

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac mengumumkan beliau mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hatinya, Francisca Luhong James. Berita gembira itu