ARTIKEL

Bollywood cetus bakat kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tema Bollywood menjadi inspirasi kepada 27 kanak-kanak berusia antara empat hingga 16 tahun untuk mengetengahkan bakat, kreativiti dan potensi diri menerusi Pertunjukan Bakat Kanak-Kanak Miss dan Mr Bollywood Sarawak 2.0.

Menerusi pertandingan yang diadakan di pusat beli-belah Plaza Merdeka itu, peserta berpeluang mengasah keyakinan diri, membina keberanian serta memperlihatkan kebolehan masing-masing dalam seni persembahan dan peragaan.

Amirul bersama semua pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi Kategori A, B dan Mister.

Penganjur yang juga pengasas AI Dot Com Management, Awg Amirul Hafizan Awg Daili, berkata program berkenaan diwujudkan bagi memberikan ruang kepada kanak-kanak mengetengahkan keistimewaan diri, selain membentuk keberanian untuk tampil di hadapan khalayak.

Menurutnya, idea penganjuran tercetus daripada keinginan untuk menyediakan platform yang bukan hanya berorientasikan pertandingan, tetapi turut memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam membina disiplin, keyakinan dan kemahiran berkomunikasi.

Beliau berkata, tema Bollywood dipilih kerana keunikan budaya itu yang kaya dengan warna-warni, muzik, tarian, fesyen serta elemen persembahan yang mampu merangsang kreativiti kanak-kanak.

“Bollywood mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi warna, muzik, tarian, fesyen dan budaya. Elemen ini memberikan ruang yang luas kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan kreativiti masing-masing.

Uqasha Rayna Faheema, penerima anugerah Pakaian Terbaik Kategori A.

“Kami mahu mewujudkan suasana pertandingan yang ceria, menarik dan penuh warna-warni, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada setiap peserta,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak selepas tamat acara tersebut baru-baru ini.

Mengulas penganjuran edisi kedua, Amirul berkata, pihaknya berusaha meningkatkan kualiti program dari segi konsep, persembahan, pengurusan pentas serta pengalaman yang diberikan kepada peserta.

Katanya, penambahbaikan itu penting bagi memastikan edisi 2.0 bukan sekadar mengulangi kejayaan penganjuran terdahulu, malah berkembang sebagai sebuah platform yang lebih tersusun, kreatif dan berkualiti.

Beliau berkata, penyertaan seramai 27 kanak-kanak daripada pelbagai lingkungan umur membuktikan sambutan positif ibu bapa terhadap usaha menyediakan ruang untuk anak-anak mengembangkan bakat.

Amirul (tengah) bersama barisan juri, dari kiri, MarieAngela (Ketua Juri), Sharon Kezia, Norarifin Ahmad dan Annie Magdalene.

Menurutnya, pertandingan berkenaan tidak hanya memberikan penekanan kepada tarian dan penampilan, sebaliknya turut menilai kreativiti, ekspresi diri, gaya pentas serta kebolehan peserta berkomunikasi.

“Setiap kanak-kanak mempunyai bakat dan potensi berbeza. Kami mahu melihat keistimewaan yang ada pada setiap peserta, bukan hanya tertumpu kepada penampilan atau kebolehan mereka di atas pentas.

“Keberanian untuk mencuba dan memberikan persembahan terbaik juga sesuatu yang wajar dihargai,” ujarnya.

Dari aspek penilaian, beliau berkata, juri mengambil kira beberapa kriteria utama termasuk busana, catwalk, penampilan, aura, solekan dan kekemasan, kreativiti serta gaya persembahan.

Pemenang Kategori A.

Undian dalam talian turut menjadi antara elemen yang diambil kira dalam penilaian pertandingan berkenaan.

Katanya, pihak penganjur berharap proses penjurian dapat dilaksanakan secara profesional dan adil bagi memastikan setiap peserta diberikan penilaian sewajarnya berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Amirul percaya penyertaan dalam program seumpama itu mampu memberikan kesan positif terhadap perkembangan peribadi kanak-kanak, khususnya dari segi keyakinan diri dan kemahiran sosial.

Menurutnya, peluang berdiri di atas pentas, berinteraksi dengan orang ramai serta mempersembahkan kebolehan sendiri dapat membantu mereka menjadi lebih berani dan berdikari.

Pemenang Kategori Mister.

“Bagi saya, apabila kanak-kanak diberikan peluang untuk berdiri di atas pentas dan mempersembahkan bakat, secara tidak langsung mereka belajar mempercayai kemampuan diri sendiri.

“Keberanian untuk mencuba itu sendiri merupakan satu kejayaan yang sangat bermakna. Kita tidak seharusnya mengukur kejayaan mereka berdasarkan kemenangan semata-mata,” jelasnya.

Beliau mengakui pengurusan program yang melibatkan peserta kanak-kanak mempunyai cabaran tersendiri, terutama dalam memastikan penyelarasan antara peserta, ibu bapa, persediaan persembahan, teknikal pentas dan pengurusan masa berjalan lancar.

Bagaimanapun, kerjasama erat antara pasukan penganjur, ibu bapa, tenaga kerja dan semua pihak yang terlibat membantu memastikan perjalanan program dapat dilaksanakan dengan baik.

Pemenang Kategori B.

Pemilihan Plaza Merdeka sebagai lokasi penganjuran pula dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik serta persekitaran yang sesuai untuk acara yang melibatkan masyarakat umum.

Menurutnya, penganjuran di ruang awam turut memberikan peluang kepada peserta mempersembahkan bakat di hadapan khalayak yang lebih luas, sekali gus meningkatkan pengalaman dan keyakinan mereka.

Mengulas perancangan masa depan, Amirul Hafizan berkata, beliau berharap Little Miss & Mr Bollywood Sarawak dapat berkembang sebagai platform pencungkil bakat kanak-kanak yang berpotensi di Sarawak.

Malah, beliau menyasarkan program itu diperluas ke peringkat yang lebih besar, termasuk membuka peluang kepada peserta untuk menyertai pertandingan dan program di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Tiga pemenang terbaik Kategori A.

Katanya, kerjasama strategik dengan agensi, penaja dan pemain industri juga akan terus diusahakan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada bakat tempatan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan perancangan menganjurkan Little Miss & Mister Plaza Merdeka Edisi 3.0 pada Disember ini sebagai kesinambungan usaha mencungkil bakat kanak-kanak.

Beliau berharap Little Miss & Mr Bollywood Sarawak dapat dijadikan acara tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat, khususnya ibu bapa dan golongan kanak-kanak.

Pengalaman peribadinya dalam bidang peragaan turut menjadi antara faktor yang mendorong beliau menceburi bidang penganjuran program berkenaan.

Tiga pemenang terbaik Kategori B.

Katanya, penglibatan dalam dunia peragaan memberikan pendedahan mengenai penampilan profesional, keyakinan diri, penguasaan pentas, kreativiti dan industri fesyen.

Pengalaman itu kemudiannya mendorong beliau untuk melangkah lebih jauh dengan membuka ruang kepada bakat baharu agar turut berpeluang menyerlah.

Dalam jangka panjang, beliau melihat program berkenaan sebagai salah satu usaha membentuk generasi muda yang mempunyai keyakinan, disiplin, kreativiti dan keberanian untuk meneroka bidang seni serta hiburan.

Bagaimanapun, katanya, minat dan perjalanan setiap kanak-kanak perlu dihormati tanpa memberikan tekanan kepada mereka untuk menjadikan bidang seni sebagai kerjaya.

Tiga pemenang terbaik Kategori Mister.

“Visi saya adalah untuk menjadikan program ini sebagai platform positif dalam membina keyakinan, mencungkil bakat dan melahirkan generasi muda Sarawak yang kreatif, berani serta berpotensi melangkah lebih jauh.

“Kita bukan sekadar mencari juara, tetapi kita sedang membina keyakinan dan mencipta masa depan generasi muda,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ibu bapa, peserta, penaja, rakan strategik dan seluruh pasukan yang memberikan sokongan terhadap penganjuran edisi kedua itu.

Sementara itu, keputusan pertandingan menyaksikan Dea Delisha Abdullah, enam, muncul juara Kategori A, diikuti Arianna Casandra Ak Henry, tujuh, sebagai naib juara, manakala Janice Macqueen Wong Jia Ping, enam, menduduki tempat ketiga.

Penganjur dua acara, Pertunjukan Bakat Kanak-Kanak dan Pertandingan Puteri Cilik dan Jejaka Cilik Bollywood Sarawak 2.0.

Bagi kategori sama, anugerah Best Dress dimenangi Uqasha Rayna Faheema, lima, manakala Angelica Christine Jong, sembilan, menerima Best Personality.

Dea Delisha turut memenangi Best Catwalk, sementara Arianna Casandra meraih Darling of the Crowd.

Kategori B pula menyaksikan Yasmin Soffiya, 14, dinobatkan sebagai juara, diikuti Siti Nur Qaseh Aleya, 15, sebagai naib juara dan Casandra Glessia, 13, di tempat ketiga.

Yasmin turut membawa pulang anugerah Best Dress, Best Catwalk dan Darling of the Crowd, manakala Best Personality menjadi milik Casandra Glessia.

Bagi Kategori Mister, Alvoro, tujuh, muncul juara, diikuti Muhd Airish Zaffran, 10, sebagai naib juara dan Adyan Naufal, lima, di tempat ketiga.

Alvoro turut memenangi Best Personality dan Darling of the Crowd, manakala Adyan menerima Best Dress dan Muhd Airish memenangi Best Catwalk.

Jemputan khas: Nur Amydhiya, Pemenang Utama Pertandingan Puteri Cilik Bollywood 1.0 (2025), bersama Nur Syamimi, Duta Pengurusan AI Dot Com.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU