KUCHING: Visi, keterampilan dan kompas moral perlu menjadi tiga asas utama kepimpinan bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan dilaksanakan berlandaskan integriti serta tanggungjawab.
Ketua Ombudsman Sarawak, Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff berkata, ketiga-tiga elemen itu saling melengkapi dalam membentuk keseimbangan kepimpinan ketika berhadapan dengan persekitaran dan ekosistem yang sentiasa berubah.

Katanya, elemen berkenaan juga tidak boleh dipisahkan kerana visi perlu disokong oleh keterampilan dan kecekapan individu, khususnya pemimpin dalam melaksanakan perubahan.
“Kompetensi yang paling penting bagi seorang pemimpin adalah memacu perubahan atau driving change, bukan driving range. Namun, visi dan keterampilan juga memerlukan kompas moral, yang mana kelemahan dalam mengamalkan elemen ini sering berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Perasmian Bulan Integriti dan Inovasi Pustaka Negeri Sarawak 2026 di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara mahupun negeri mempunyai reputasi yang diukur berdasarkan beberapa faktor seperti sistem dan struktur pentadbiran awam, dasar-dasar serta budaya politik yang menjurus kepada melahirkan negara demokrasi demi kepentingan rakyatnya.
Menurutnya, rakyat juga tidak mahu sebuah kerajaan yang dilanda masalah ‘trust deficit’, iaitu situasi apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
“Justeru, kerajaan seharusnya juga tidak terbuka kepada masalah pembaziran, sikap sambil lewa dan bergelumang dengan gejala rasuah. Sebaliknya, rakyat menghendaki kerajaan yang efisien, terbuka dan cekap.
“Kerajaan pilihan rakyat harus mendokong kepentingan masyarakat sivil dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diperoleh oleh mereka daripada penggunaan teknologi baharu dan pelbagai bentuk organisasi (GLCs),” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa tidak dinafikan Sarawak kini mencapai status negeri berpendapatan tinggi yang diiktiraf oleh Bank Dunia sejak Julai 2023.
Jelasnya, kejayaan Sarawak bukan sahaja dapat dilihat melalui peningkatan pendapatan sehingga dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu, malah turut merangkumi kepelbagaian sumber ekonomi, termasuk sektor minyak dan gas, ekonomi digital seperti semikonduktor serta tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa hadapan.
“Antara faktor utama kejayaan ini ialah kestabilan politik yang meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam sektor dan kawasan berpotensi di Sarawak.
“Kedua, di bawah kepimpinan dinamik Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kejayaan negeri ini turut didorong oleh formula sosial berteraskan prinsip ‘Trust, Moderation and Mutual Respect’ atau amanah, kesederhanaan dan saling menghormati.
“Ketiga, penekanan berterusan terhadap tadbir urus yang baik, integriti institusi dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab menjadi asas strategik dalam usaha mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan warga Pustaka Negeri Sarawak perlu memainkan peranan dalam menyokong dasar dan inisiatif kerajaan dengan membudayakan integriti serta inovasi sebagai pemangkin kepada kemakmuran yang dapat dinikmati bersama.



