KUCHING: Pusat Tuisyen Terbilang, Matang Jaya menganjurkan Majlis Restu Ilmu menerusi bacaan tahlil dan solat hajat bagi mendoakan kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Majlis yang berlangsung pada 15 November lalu itu turut menyaksikan penyerahan air zamzam kepada setiap calon sebagai tanda sokongan pihak pengurusan pusat tuisyen berkenaan.
Program disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak, Dr Ishak Johari, turut dihadiri Pengetua Rangkaian Pusat Tuisyen Terbilang, Dr Nurhidayah Abdullah dan Pengarah Media, Abang Zainoreen Jess.
Pengisian dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Guru UPKK Terbilang, Ustaz Wan Mahzan Wan Alik.
Majlis diteruskan dengan solat isyak dan solat hajat bagi memohon agar calon diberikan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran serta dipermudahkan ketika menjawab peperiksaan.
Penganjuran program itu turut memberi penekanan kepada kepentingan usaha, doa dan tawakal dalam menghadapi peperiksaan, selain restu ibu bapa serta bimbingan guru.
Majlis berakhir dengan jamuan ringan dan penyerahan air zamzam kepada semua calon SPM yang hadir.



