KUCHING: Tujuh sekolah rendah berentap dalam Kejohanan Kriket Bawah 12 Tahun (B-12) Persatuan Kriket Sarawak (SCA) 2026 yang membuka tirai Isnin lalu sebagai usaha mengenal pasti lebih ramai pelapis berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 20 November di Stadium Hoki Negeri Sarawak itu menggunakan format Twenty20 (T20), sekali gus memberi peluang kepada pemain muda menguji kemahiran dan kemampuan masing-masing dalam suasana pertandingan kompetitif.
Sebanyak tujuh sekolah mengambil bahagian, iaitu SK Padang Pedalai, SK Tan Sri Dr Sulaiman Haji Daud, SK Tabuan, SK Matu Baru, SK Semenggok, SK St Augustine dan SK Temenggong.
Menurut SCA, penganjuran tersebut merupakan antara inisiatif utama Program Pengenalpastian Bakat yang bertujuan mengesan pemain berpotensi sejak peringkat sekolah rendah untuk dibimbing secara lebih tersusun.
“Menerusi pendekatan itu, pemain muda bukan sahaja berpeluang mempamerkan bakat, malah dapat meningkatkan pengalaman beraksi dalam pertandingan sebenar serta membina keyakinan menghadapi cabaran,” kata SCA, semalam.
Format T20 turut memberi penekanan kepada penguasaan teknik asas kriket, termasuk kemahiran memukul, membaling dan menangkap bola, selain memupuk disiplin serta kerjasama berpasukan.
Tambah SCA, selain pencarian bakat, kejohanan tersebut menjadi platform menggalakkan lebih banyak sekolah rendah memperkenalkan sukan kriket kepada murid sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum.
“Langkah berkenaan penting bagi memperluas penyertaan di peringkat akar umbi, khususnya dalam usaha meningkatkan jumlah pemain muda yang mempunyai asas kukuh sebelum melangkah ke kategori umur lebih tinggi,” kata SCA.
SCA turut berhasrat menjadikan kejohanan B-12 sebagai acara tahunan bagi memastikan usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu dapat dilaksanakan secara berterusan.
Penganjuran itu turut melibatkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Perbadanan Sukan Sarawak dalam menyokong pembangunan sukan berkenaan.
Kerjasama tersebut dilihat dapat membantu menyediakan platform pertandingan yang lebih tersusun, selain membuka ruang kepada sekolah dan pemain muda memperoleh pendedahan dalam sukan kriket.



