KUCHING: Tidak sampai dua hari selepas lima unit pagar aluminium dilaporkan hilang dari sebuah rumah di Jalan Matang-Batu Kawa, polis berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 malam semalam di kawasan perumahan Jalan Matang-Batu Kawa.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh berhubung kejadian berkenaan.
“Pada 16 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari, pengadu mendapati lima unit pagar aluminium yang masih terpasang pada tiang pagar di hadapan rumahnya telah hilang dan dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu yang disyaki terlibat sebelum berjaya menahan seorang lelaki pada malam 17 November.
Menurutnya, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian masyarakat selepas satu hantaran berkaitan kecurian itu tular di laman sosial Facebook.
“Suspek akan dirujuk ke Mahkamah Kuching pada 18 November 2026 bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Barry berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing bagi mengurangkan risiko kejadian jenayah.
“Masyarakat digesa agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.



