KUCHING: Bilangan projek sakit di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menurun kepada 26 projek atau 2.97 peratus daripada keseluruhan 880 projek dalam fasa pembinaan setakat 16 November lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penurunan itu menunjukkan keberkesanan langkah pemantauan yang dilaksanakan kementerian menerusi mesyuarat berkala setiap tiga bulan bagi memastikan prestasi projek pembangunan infrastruktur awam terus terkawal.
Beliau berkata, jumlah projek sakit sebelum ini mencatatkan 38 projek atau 4.32 peratus sebelum berjaya dikurangkan kepada 26 projek, sekali gus mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian untuk memastikan kadar projek sakit tidak melebihi tiga peratus.
“Daripada 880 projek dalam pembinaan, sebanyak 270 projek mendahului jadual, manakala 311 projek lagi mengikut jadual.
“Saya gembira jawatankuasa ini berperanan dengan berkesan untuk menurunkan kadar projek sakit daripada 4.32 peratus kepada 2.97 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra-Rakyat Kementerian Kerja Raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, daripada 26 projek yang dikategorikan sebagai sakit itu, dua daripadanya sudah mencapai kemajuan fizikal 99 peratus, namun masih disenaraikan berikutan kelewatan menyiapkan projek mengikut jadual asal.
Katanya, berdasarkan pecahan punca kelewatan, sebanyak 81 peratus berpunca daripada prestasi kontraktor, manakala 19 peratus lagi disebabkan faktor lain.
Sementara itu, bagi Sarawak, sebanyak 99 projek pembangunan fizikal bernilai RM12.17 bilion sedang dilaksanakan di bawah seliaan JKR Malaysia.
Daripada jumlah itu, 36 projek berada dalam fasa pembinaan, 36 projek dalam fasa prapembinaan, tiga projek merupakan projek awalan, manakala 25 projek lagi siap dan berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).
Bagaimanapun, daripada 36 projek dalam fasa pembinaan, satu telah siap, menjadikan baki 35 projek masih dalam pelaksanaan.
Ahmad berkata, Sarawak merekodkan empat projek sakit setakat 18 November selepas satu daripada lima projek yang sebelum ini dikategorikan sebagai sakit berjaya disiapkan.
Empat projek berkenaan ialah pembinaan SMK Tinjar, Baram bernilai RM17 juta yang mencatatkan kemajuan 80 peratus berbanding sasaran 100 peratus, dengan kelewatan 113 hari.
Turut disenaraikan ialah pembinaan SK Sebandi, Lundu bernilai RM24 juta yang mencapai kemajuan 66 peratus berbanding sasaran 100 peratus, selain SMK Belaga bernilai RM21 juta yang mencatatkan kemajuan 81 peratus berbanding sasaran 100 peratus.
Projek keempat membabitkan pembinaan dan penggantian penuh 30 bilik darjah, asrama berkapasiti 600 pelajar serta 12 unit rumah guru di Sekolah Kebangsaan Abang Man, Saratok, bernilai RM46 juta, yang mencatatkan kemajuan 32 peratus berbanding sasaran 54 peratus.
Mengulas tindakan ke atas kontraktor terlibat, beliau berkata, beberapa kontraktor telah dikenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berikutan kegagalan menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.
Katanya, kontraktor yang gagal menunjukkan peningkatan prestasi juga boleh dikenakan tindakan penamatan kontrak sebelum kontraktor penyelamat dilantik bagi meneruskan pelaksanaan projek.
Beliau berkata, kementerian akan terus memperketat pemantauan menerusi mesyuarat berkala bagi memastikan kadar projek sakit kekal tidak melebihi tiga peratus dalam tempoh pemantauan seterusnya.


