KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan 40 kursus nilai tambah yang menyasarkan penyertaan 1,482 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian tahun ini bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu merupakan komitmen kementerian untuk memperkasakan sektor pertanian melalui penglibatan bakat muda, selain memperkukuh program TVET berasaskan pertanian pintar, mekanisasi automasi, teknologi dron, Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Pada tahun ini, di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara, KPKM telah memperuntukkan RM350,000 bagi menganjurkan 14 kursus di bawah pemerkasaan bakat kepada 983 peserta yang terdiri daripada pelatih TVET Pertanian dan peserta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
“KPKM juga memperluas latihan kemahiran pelatih TVET dengan menawarkan program pensijilan kemahiran pengendalian dron merangkumi aspek keselamatan, pengendalian dan pematuhan peraturan penerbangan…ini dapat membuka peluang kerjaya kepada belia sebagai operator dron pertanian dan menyediakan perkhidmatan teknologi agro,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengenai perancangan KPKM dalam melahirkan lebih ramai belia tani dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam pertanian pintar.
Mohamad berkata bagi membantu graduan TVET memulakan perniagaan, KPKM turut menyediakan inisiatif geran Program Agropreneur NextGen bernilai RM30,000 pada peringkat awal, yang boleh ditambah sehingga RM50,000 sekiranya projek yang diusahakan menunjukkan kemajuan.
“Ini sedang diusahakan dan mereka yang terlibat (di) kawasan-kawasan pertanian ini, sila ambil perhatian.
Kita mesti berusaha supaya bajet ini sampai kepada anak-anak muda yang nak terlibat dalam bidang pertanian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementerian akan melaksanakan program pemutihan Lesen Sampan Khas (LSK) di seluruh negara, termasuk membatalkan lesen mereka yang tidak aktif selama tiga tahun berturut-turut bagi membuka peluang kepada nelayan baharu menceburi sektor perikanan.
Mohamad berkata program itu bertujuan memastikan lesen diberikan kepada nelayan tulen yang menjadikan aktiviti penangkapan ikan sebagai sumber pendapatan utama termasuk golongan muda yang memenuhi syarat kelayakan.
“Mekanisme kemasukan nelayan baharu melalui LSK bagi Zon A dilaksanakan menerusi pengisian kekosongan lesen yang dikenal pasti melalui program pemutihan, termasuk pembatalan lesen yang tidak aktif selama tiga tahun berturut-turut.
“Melalui mekanisme ini, permohonan yang layak termasuk nelayan muda boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan lesen mengikut syarat dan tatacara yang ditetapkan,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai kesediaan kerajaan mereformasikan sistem pelesenan, termasuk menyemak lesen tidak aktif dan menyediakan laluan khas kepada nelayan muda.
Mohamad berkata program pemutihan akan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia susulan keputusan kerajaan memperuntukkan RM30 juta menerusi Belanjawan 2027 untuk meningkatkan jumlah pemegang LSK daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang akuakultur menerusi Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (Program TEMAN-AKUA) bagi membantu menjana pendapatan alternatif menerusi bidang penternakan hidupan air.
Katanya, program itu diwujudkan memandangkan lesen vesel penangkapan ikan laut (Zon A, B, C) sudah lama dibekukan bagi menjaga kelestarian hidupan laut daripada ditangkap secara berlebihan.
“Program ini menyediakan latihan, bantuan kewangan dan peralatan berteknologi bagi menyokong penjanaan pendapatan tertakluk pada syarat kelayakan program,” katanya. — Bernama

