ARTIKEL

Cadangan bina jambatan Taman Kemena Sutera-Taman Jason perlu dikaji semula


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Taman Kemena Sutera dengan Taman Jason perlu dikaji semula bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin membebankan penduduk di kawasan berkenaan.

Penyandang DUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, beliau tidak pernah melupakan projek berkenaan meskipun pelaksanaannya ditangguhkan sebelum ini.

“Saya terus melakukan penyelarasan dan susulan dengan pihak berkaitan sejak beberapa tahun lalu bagi mencari penyelesaian masalah kesesakan yang semakin serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk Taman Kemena Sutera bersama-sama Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng, malam kelmarin.

Mengulas sesi dialog tersebut, kehadirannya bukan disebabkan pilihan raya yang semakin hampir, sebaliknya isu berkenaan sememangnya telah lama mendapat perhatiannya.

Jelasnya, berdasarkan maklumat daripada jabatan berkaitan, antara faktor penangguhan projek itu ialah bantahan sebahagian penduduk yang bimbang pembinaan jambatan akan menjejaskan kerja pendalaman dan pelebaran dasar sungai pada masa hadapan.

“Keadaan ini dikhuatiri memberi kesan kepada sistem saliran serta fungsi tebatan banjir di kawasan berkenaan.

“Saya akui berasa kesal apabila sebelum ini, projek tersebut tidak memperoleh sokongan dan persetujuan komuniti yang mencukupi, namun gembira melihat penduduk kini mula berhimpun serta menyuarakan pandangan demi kepentingan bersama.

“Ketika projek ini ditangguhkan dahulu, tidak ramai penduduk tampil menyuarakan pandangan secara aktif, justeru inisiatif mereka sekarang merupakan satu permulaan yang baik untuk memperjuangkan penambahbaikan di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Katanya, kawasan sekitar Taman Kemena Sutera kini berkembang pesat dengan kewujudan beberapa kawasan perumahan serta pembangunan baharu yang masih giat dilaksanakan.

Beliau berpendapat pihak berkuasa perlu meneliti semula cadangan pembinaan jambatan ke Taman Jason atau mempertimbangkan penyediaan laluan keluar masuk kedua yang lebih sesuai.

Dalam pada itu, Johnny Pang mencadangkan penduduk menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai platform rasmi untuk menyelaraskan pandangan serta keperluan komuniti.

“Organisasi ini dapat membantu mengumpulkan pandangan penduduk, termasuk mereka yang menyokong atau membantah cadangan pembinaan jambatan, selain berkaitan penambahbaikan sungai dan rangkaian jalan raya.

“Saya turut menyarankan agar senarai sokongan penduduk, pandangan komuniti serta permohonan rasmi dikumpulkan untuk diserahkan kepada pasukan khidmatnya dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu bagi tindakan penyelarasan lanjut dengan jabatan serta agensi berkaitan.

“Langkah ini penting bagi membolehkan kajian lanjut dilaksanakan untuk menilai kemungkinan meneruskan semula projek jambatan atau mengenal pasti alternatif lain yang lebih sesuai,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU