ARTIKEL

Ahmad menunjukkan pantun dikarangnya kepada pengamal media.

Ahmad berpantun harap GPS cemerlang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyuarakan harapan agar Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengekalkan kecemerlangan parti itu menerusi pantun yang disampaikan di hadapan pengamal media.

Beliau berkata, pantun berkenaan merupakan hasil nukilannya sendiri tanpa menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI).

“Semua pantun saya original, saya tak gunakan ChatGPT pun,” katanya berseloroh pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra-Rakyat Kementerian Kerja Raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan pantun sebagai pembuka bicara dengan menyelitkan ungkapan dialek tempatan ketika menyapa pengamal media yang hadir.

“Dari Johor pergi Sarawak,
Rumah mentua dijemput naik.
Apa khabar semua kitak?
Diharap semua khabar baik.”

Beliau kemudian menyampaikan satu lagi rangkap pantun yang menyelitkan harapan terhadap kejayaan GPS.

“Bunga berkembang, telah dibeli,
Disusun baris, dalam dulang,
Barisan menang, tiga kali,
Harap GPS, berjaya cemerlang.”

Ahmad sebelum ini mencetus kontroversi menerusi tindakan berpantunnya yang berbentuk sindiran politik ketika membahaskan isu penghapusan tol pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak beliau agar meletakkan jawatan susulan tindakannya.

Bagaimanapun, Ahmad menerusi hantaran di Facebook menegaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang desakan daripada Presiden UMNO untuk meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri.

“Saya faham parti MP itu terluka sebanyak empat kali. Di Sabah, di Johor, di Negeri Sembilan dan terkini di Melaka.

“Jika di Sarawak pihak mereka bertanding, mungkin akan kalah untuk kali kelima. Mungkin.

“Maka saya faham hanya dengan serangkap pantun, mereka telah melenting. Saya tenang sahaja, seperti biasa, saya seorang yang tenang,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU