BINTULU: Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mengukuhkan komitmennya terhadap tadbir urus korporat dan integriti apabila berjaya memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025, berdasarkan edisi terkini piawaian antarabangsa berkenaan.
Pencapaian itu menjadi mercu tanda penting dalam usaha berterusan BPHB memperkukuh amalan tadbir urus korporat, meningkatkan ketelusan serta membudayakan integriti dalam keseluruhan organisasi.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Anuar Ismail, menerima sijil berkenaan daripada Pengerusi Negara Malaysia Bureau Veritas (M) Sdn. Bhd., Datuk Mohd Nizam Abdul Malik, pada Majlis Dialog Awam Bintulu Port Bil. 2/2026.
Majlis itu turut dihadiri Pengurus Pembangunan Perniagaan Bureau Veritas (M) Sdn. Bhd., Nur Nasiha Mokhtaruddin, dan Arnold Alexius Asiew.
Pensijilan ISO 37001:2025 menyediakan kerangka kerja sistematik bagi mencegah, mengesan dan menangani amalan rasuah, di samping memperkukuh mekanisme kawalan dalaman serta pengurusan risiko berkaitan rasuah dalam organisasi.
Terdahulu, majlis berkenaan turut menyaksikan tayangan montaj video yang memaparkan perjalanan dan usaha Bintulu Port dalam memenuhi keperluan bagi memperoleh pensijilan tersebut.
Usaha itu dimulakan menerusi sesi libat urus bersama barisan kepimpinan sebelum diteruskan dengan pelaksanaan analisis jurang, kerjasama rentas jabatan serta pembangunan pelan tindakan bagi memastikan keperluan piawaian berkenaan dapat dipenuhi.
Sepanjang proses pelaksanaan, BPHB turut memperlihatkan komitmennya menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Penilaian Risiko Rasuah, pelancaran Strategi Anti Rasuah Organisasi (OACS), Ikrar Bebas Rasuah serta program kesedaran integriti yang melibatkan warga kerja dan rakan perniagaan.
Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kesungguhan BPHB dalam memperkukuh sistem pengurusan anti rasuah, malah menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam aspek tadbir urus, integriti dan pematuhan terhadap amalan perniagaan beretika.
BPHB kekal komited mengekalkan standard yang ditetapkan serta memastikan integriti terus menjadi teras dan panduan dalam setiap aspek operasi serta urusan perniagaannya.



