BINTULU: Pasukan Mozo Sport berjaya dinobatkan juara Kejohanan Futsal Belia Terbuka Piala Pusingan Top Eight 2026.
Mozo Sport menewaskan Five City X Eshmed Burger 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi final yang berlangsung di gelanggang futsal Kelab Kidurong Bintulu (KKB) hujung minggu lalu.
Kejayaan tersebut membolehkan barisan pemain Mozo Sport membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Manakala, wang tunai RM1,000, piala dan pingat menjadi milik pemain Five City X Eshmed Burger selaku naib juara.
Sementara itu, pasukan TVM Bintulu FT dan Ayash United yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Kejohanan tersebut berlangsung selama dua hari, iaitu pada 14 dan 15 November, dan menghimpunkan pelbagai kelab handal sekitar Bintulu.
Penganjuran kejohanan itu bertujuan menjadi pentas untuk pemain terlibat mempamerkan bakat serta kehebatan masing-masing, selain mengenal pasti pemain muda berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Dengan penglibatan ramai pemain muda dalam kejohanan itu, pasti ada pemain yang menyerlah dan berjaya mencipta nama di pentas lebih kompetitif pada masa akan datang.
Kejohanan itu juga mampu menjadi landasan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara semua pihak.
Hadir sama memeriahkan kejohanan itu ialah penyandang kerusi DUN Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, serta beberapa jemputan lain.



